KUALA LUMPUR – Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan mula dikreditkan kepada penerima melalui MyKad masing-masing hari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi hantaran di aplikasi X hari ini memaklumkan sejumlah RM100 bantuan SARA bulanan akan dikreditkan kepada isi rumah yang menerima manfaat Sumbangan Tunai Rahmah (STR), manakala masing-masing RM50 sebulan kepada warga emas dan bujang.
Menurut MoF, bagi penerima STR dan eKasih pula, isi rumah akan menerima RM200 bantuan SARA setiap bulan, selain RM150 untuk warga emas dan RM100 kepada golongan bujang.
SARA boleh digunakan di lebih 14,700 pasar raya dan kedai runcit terpilih seluruh negara.
— BERNAMA


