IPOH – Kerajaan Negeri Perak mensasarkan pasaran massa sebagai fokus utama bagi sektor pelancongan, di samping memberi perhatian kepada segmen-segmen lain seperti warga emas, yang semakin penting daripada sudut ekonomi.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, usaha itu dizahirkan melalui pengukuhan infrastruktur serta meningkatkan aksesibiliti destinasi pelancongan termasuk kepada golongan itu.
“Pada tahun ini sebanyak 16 projek di bawah inisiatif program ‘Age Friendly City’ atau Bandar Mesra Warga Emas telah dilaksanakan di pelbagai lokasi.
“Antaranya adalah Kellie’s Castle di daerah Kinta, Laman Budaya di Kuala Kangsar, Zoo Taiping and Night Safari di Larut Matang dan Selama, Taman Tasik Temoh di Batang Padang lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Tambah Sze Yee (PH-Jalong), dalam usaha yang sama kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur luar bandar bagi kemudahan askes kawasan tumpuan pelancong.
Kata beliau, melalui peruntukan ini, pelbagai projek telah dilaksanakan termasuk pembinaan tandas awam yang lebih selesa, pemasangan papan-papan tanda informatif, pembangunan kawasan rekreasi pelancongan di penempatan Orang Asli dan sebagainya.
“Melalui pelaksanaan strategik seperti ini, kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk membangunkan sektor pelancongan yang mesra semua peringkat umur, sekali gus memperkukuh daya tarikan Perak sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Pendekatan yang inklusif dan mampan ini juga diyakini mampu merancakkan ekonomi pelancongan negeri, khususnya melalui peningkatan penyertaan segmen warga emas yang mempunyai potensi perbelanjaan tinggi,” ujarnya.
Menurut Sze Yee, 186 orang peserta latihan penjagaan warga emas di bawah inisiatif Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) juga turut membantu kepada usaha berkenaan.
Justeru kata beliau, kerajaan negeri juga telah menghantar enam individu anak Perak untuk menjalani latihan penjagaan warga emas di Jepun secara intensif melalui latihan Training of Trainer (tot) pada tahun ini.
“Dengan adanya tenaga kerja terlatih ini, Perak dapat menyediakan persekitaran pelancongan yang lebih mesra warga emas.
“Ia sekali gus meningkatkan keyakinan dan keselamatan pelancong warga emas, keluarga yang membawa ibu bapa, serta pelancong pelbagai keperluan lain,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tahun Melawat Malaysia 2026: Perak salur lebih RM18 juta untuk sektor pelancongan


