PARIT – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap rakan sekolahnya antara Oktober dan November lalu.
Tertuduh yang bersekolah di sebuah sekolah berasrama membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Berdasarkan pertuduhan, remaja berusia 16 tahun itu didakwa bagi 10 pertuduhan iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik asrama sebuah sekolah menengah di Kampung Gajah, dalam daerah Perak Tengah pada jam 11 malam antara 3 hingga 27 November 2025.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Turut didakwa di mahkamah sama, tiga rakan tertuduh yang juga berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan.
Pelajar terbabit turut didakwa bersama tiga rakan sekolahnya melakukan kesalahan sama ke atas mangsa di lokasi sama antara jam 12 hingga 12.30 tengah malam pada 30 Oktober 2025 selain 1 dan 30 November 2025.
Dalam prosiding sama, empat remaja itu turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi sama pada jam 12.30 tengah malam, 30 November 2025.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,500 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh pertama dan menetapkan 10 Februari depan untuk tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak.
Bagi tiga pelajar lain yang mengaku tidak bersalah, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 setiap seorang dan sebutan semula kes juga ditetapkan pada tarikh sama untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bekas guru sekolah agama didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap murid 12 tahun


