KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan anggota Jemaah Menteri sentiasa menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh integriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Seri Paduka Baginda bertitah, keutamaan kerajaan antara lain perlu menitikberatkan kesejahteraan rakyat, kestabilan negara serta kemakmuran ekonomi, seiring dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Sultan Ibrahim bertitah, anggota Jemaah Menteri perlu bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan cekap dan berkesan.
“Menteri dan Timbalan Menteri perlu sentiasa turun padang mendengar suara rakyat. Anda perlu menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office seperti dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan.
Majlis itu yang berlangsung di Istana Negara hari ini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – MalaysiaGazette


