KERAJAAN Negeri Perak terus menekankan kelestarian alam sekitar melalui pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, sepanjang 2025, Perak mencatat beberapa kejayaan penting dalam penguatkuasaan undang-undang, pemuliharaan hidupan liar, serta program pendidikan dan kesedaran awam.
Bagi memantau dan menyelaras program serta projek berkaitan kelestarian alam sekitar, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk pelaksanaan program di bawah jabatan tersebut.
Sejumlah RM572,000 turut disalurkan melalui peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) dan pembangunan bagi memastikan Perhilitan dapat menjalankan tugas pemuliharaan dengan cekap, termasuk pembelian peralatan, kenderaan operasi, fasiliti dan latihan pegawai.

Penguatkuasaan undang-undang hidupan liar
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pada tahun ini Perhilitan telah menjalankan 148 operasi berkaitan aktiviti penguatkuasaan jenayah hidupan liar termasuk Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), pemeriksaan premis perniagaan, sekatan jalan raya (SJR), operasi pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, operasi jerat dan rondaan musim perayaan.
Menurutnya, sebanyak 19 tangkapan telah direkodkan, termasuk satu kes yang melibatkan tiga warganegara Indonesia atas kesalahan pemburuan haram dan pemilikan spesies terancam secara tidak sah.
“Pada tahun ini, lebih 189 haiwan dilindungi diselamatkan, termasuk Harimau Malaya, kijang, ular, kura-kura, beberapa spesies burung terancam dan hidupan liar eksotik lain.
“Kejayaan ini menunjukkan komitmen Perhilitan Perak dalam melindungi hidupan liar daripada aktiviti haram,” katanya.

Usaha Konservasi dan Pemuliharaan
Dalam bidang konservasi, beliau berkata, Perhilitan telah melaksanakan beberapa inisiatif penting antaranya, 11 operasi membasmi musuh tanaman di daerah Hulu Perak, Lenggong, Kerian, Perak Tengah, Teluk Intan dan Selama bagi menangani keresahan penduduk akibat kehadiran kera dan babi hutan yang merosakkan tanaman serta harta benda.
“Selain itu, sebanyak 33 ekor gajah liar turut dipindahkan menerusi translokasi gajah liar melalui 13 operasi di Gerik dan Sungai Siput bagi mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar tersebut.
“Perhilitan turut mengadakan pemantauan di empat kawasan rizab hidupan liar bagi memastikan ekosistem negeri kekal seimbang dan lestari.
“Usaha-usaha ini bukan sahaja memulihkan populasi spesies terancam tetapi juga menegaskan komitmen Perak terhadap pemeliharaan biodiversiti,“ ujarnya.
Pendidikan dan kesedaran awam
Dalam pada itu, Teh berkata, pendidikan dan kesedaran awam menjadi tonggak kejayaan jangka panjang dalam pemuliharaan alam sekitar.
“Sepanjang tahun ini, Jabatan telah menganjurkan 41 program kesedaran awam dengan penyertaan lebih 3,400 peserta, termasuk sekolah, komuniti kampung dan organisasi belia.

“Program seperti lawatan sambil belajar, ceramah, bengkel bersama pemegang taruh dan kem komuniti telah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan hidupan liar.
“Ini menunjukkan bahawa perubahan bermula daripada kesedaran dan keterlibatan masyarakat sendiri,“ jelasnya.
Langkah mitigasi konflik, pemantauan habitat
Sementara itu, kerajaan negeri melalui Perhilitan dan Jabatan Perhutanan juga melaksanakan pelbagai langkah mitigasi konflik hidupan liar, termasuk pemasangan pagar elektrik, perangkap, pemantauan elektronik dan pendidikan komuniti.
“Sistem pembalakan yang diamalkan menggunakan Sistem Pengurusan Terpilih, dengan pematuhan ketat terhadap Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Pembalakan Berimpak Rendah.
“Pemantauan melalui satelit, dron dan rondaan bersepadu sentiasa dijalankan untuk memastikan habitat hidupan liar dilindungi.

“Rangkaian Rangkaian Hutan Utama (CFS) seluas lebih 54,000 hektar berperanan sebagai benteng ekologi bagi mengurangkan konflik antara manusia dan hidupan liar,” ujarnya.
Justeru, kerajaan negeri menegaskan bahawa agenda kelestarian bukan sekadar polisi pentadbiran lima tahun, tetapi merupakan amanah antara generasi serta setiap keputusan yang dibuat akan menentukan kualiti kehidupan anak dan cucu pada masa depan.
Dalam konteks ini, kerajaan negeri memilih untuk membuat keputusan yang mungkin sukar dalam jangka pendek, tetapi bertanggungjawab dalam jangka panjang.
Kejayaan pemuliharaan alam sekitar adalah hasil kerjasama antara kerajaan, jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat.
Serhubungan itu, Perak akann terus komited untuk memastikan negeri ini kekal hijau, lestari, selamat dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 untuk mengekalkan alam sekitar bagi generasi akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Green Tech Perak 2025 gerakkan transformasi tenaga hijau, inovasi mampan


