IPOH – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengamuk dan mencederakan dua ahli keluarganya menggunakan pedang samurai di sebuah rumah di Persiaran Putra, Bandar Baru Putra, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bagi kes tersebut berhubung kejadian itu sekitar jam 6.41 pagi.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat tersebut sepasukan anggota polis bertindak ke lokasi kejadian dan mendapati suspek telah mencederakan dua ahli keluarga iaitu ibu dan bapanya.
“Susulan kejadian tersebut, suspek berusia 29 tahun dipercayai melarikan diri dengan memanjat tembok dan bumbung rumah sebelum memasuki kediaman jiran berhampiran.
“Lelaki tempatan itu bagaimanapun ditahan di rumah jiran terbabit tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai rekod rawatan kesihatan mental dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital psikiatri sebelum ini.
“Bagaimanapun siasatan terperinci sedang dijalankan pasukan penyiasat bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian amuk itu,” ujarnya.
Abang Zainal Abidin berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki mengamuk, pecah pintu kaca MPTI guna tukul besi


