‘Ibu, barang sekolah habis terbakar’

IPOH – Keheningan petang di Kampung Kuala Pari Hilir, dekat sini, bertukar menjadi suasana kalut apabila empat buah rumah yang didiami 22 orang terbabit dalam kejadian kebakaran, pada Isnin.

Salah seorang mangsa, Nor Hafizah Aziz, 35 berkata, kejadian itu telah memusnahkan kesemua barangan di rumah termasuk bantuan kelengkapan persekolahan anak sulung perempuan yang berusia tujuh tahun.

Katanya, selain buku teks, antara barangan persekolahan anaknya yang musnah termasuk pakaian seragam, beg, kasut, dan buku aktiviti.

 kebakaran Kampung Kuala Pari Hilir mangsa kebakaran Ipoh, PPS Kampung Kuala Pari, rumah terbakar Perak, mangsa kebakaran B40, kebakaran Menglembu, bantuan mangsa kebakaran
Mangsa kebakaran rumah, Nor Hafizah Aziz.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu saya dan suami hanya sempat menyelamatkan kad pengenalan dan sebahagian dokumen penting lain termasuk sijil pernikahan.

“Anak perempuan saya menangis kerana mengenangkan barang kelengkapan untuk masuk sesi persekolahan tahun hadapan habis musnah terbakar.

“Dia pun cakap kepada saya, ‘ibu, barang sekolah, buku teks kakak macam mana? Takut nanti cikgu marah’,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari, dekat sini, pada Selasa.

Menceritakan tentang kejadian, Norhafizah berkata, sekitar jam 4 petang di sedang berada di rumah bersama dua anaknya.

Katanya, tidak lama kemudian, penduduk setempat memaklumkan kepadanya bahawa mereka terlihat api dan kepulan asap di salah sebuah rumah sebelum Norhafizah dan anak-anaknya sempat menyelamatkan diri.

“Ada beberapa penduduk cuba padamkan api dengan menggunakan paip air, namun tidak berjaya.

“Kami ada terdengar bunyi seperti letupan ketika kebakaran itu berlaku dan pada masa sama, api semakin marak dan asap tebal mula memenuhi rumah,” ujarnya.

 kebakaran Kampung Kuala Pari Hilir mangsa kebakaran Ipoh, PPS Kampung Kuala Pari, rumah terbakar Perak, mangsa kebakaran B40, kebakaran Menglembu, bantuan mangsa kebakaran
Mangsa kebakaran rumah, Rohana Hasim.

Sementara itu, Rohana Hasim, 38, berkata, ketika kejadian, dia dan anak lelaki yang berusia 10 tahun sedang tidur di ruang tamu, sebelum dikejutkan anggota jiran tentang kebakaran yang berlaku.

“Apabila dengar jeritan jiran dan tangisan kanak-kanak, saya panik terus keluar. Kemudian saya teringat akan kad pengenalan, sebelum saya masuk semula ke rumah dan capai beg. Dan ketika itu pun asap sudah tebal,” katanya lagi.

Menurut suri rumah itu, mereka kediaman itu sejak 10 tahun lalu di samping hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai penghantar.

“Kalau rumah itu boleh dibaik pulih, kami sanggup menyewa semula kerana semua jiran kami sudah anggap seperti adik-beradik,” katanya.

 kebakaran Kampung Kuala Pari Hilir mangsa kebakaran Ipoh, PPS Kampung Kuala Pari, rumah terbakar Perak, mangsa kebakaran B40, kebakaran Menglembu, bantuan mangsa kebakaran
Mangsa kebakaran rumah, Ani Mat Saman.

Seorang lagi mangsa, Ani Mat Saman, 54, menyifatkan kejadian tersebut sebagai pengalaman paling memilukan sepanjang lebih 20 tahun menyewa di kawasan berkenaan.

“Memang sedih, tetapi kami reda. Apa nak buat, semua dah habis (musnah terbakar),” katanya yang memaklumkan keluarganya kini merancang untuk mencari rumah sewa lain selepas urusan pemindahan selesai.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Pari Hilir, Ahmad Sofian Yahya berkata, pihaknya sedang berusaha mencari rumah sewa sementara untuk menempatkan semua mangsa yang terjejas dalam kebakaran tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Pari Hilir, Ahmad Sofian Yahya

Beliau memberitahu, semua mangsa merupakan keluarga dalam golongan B40 dengan sebahagian besar baru sahaja menerima bantuan kelengkapan persekolahan pada Ahad sebelum rumah mereka terbakar.

“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti tiga buah rumah di kampung ini yang bersedia untuk disewa sementara bagi menempatkan kesemua mangsa.

“Kami akan cuba mendapatkan empat rumah, dengan saiz dan kapasiti yang bersesuaian mengikut bilangan keluarga masing-masing,” katanya lagi.

Pada Isnin, media melaporkan, empat keluarga melibatkan 22 mangsa termasuk tujuh kanak-kanak terpaksa ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Empat rumah terbakar, 22 mangsa ditempatkan di PPS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI