IPOH – Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar di Perak memerlukan proses yang panjang termasuk pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan di negeri ini maka penelitian khususnya daripada aspek perundangan perlu dilakukan.
“Cadangan ini perlu dilihat dengan teliti kerana sekiranya hendak dilaksanakan, maka ia perlu ada pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Perak, di samping memerlukan pekenan Sultan Perak.
“Oleh itu untuk di negeri kita perlu lihat semula terhadap cadangan itu kerana ia adalah suatu perkara baharu kepada Malaysia, berbanding negara luar seperti Amerika Syarikat yang telah melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Operasi Baharu A-Asign Corporation Sdn. Bhd di Basco Avenue@Kepayang, dekat sini, pada Khamis.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Saarani berkata demikian ketika mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal.
Media terdahulu melaporkan, Anwar mengumumkan rang undang-undang (RUU) berkenaan akan dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
Ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar berkata, RUU itu merupakan antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.
Mengulas lanjut Saarani berkata, cadangan tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, bergantung kepada situasi serta keperluan pentadbiran sesebuah negara atau negeri.
Beliau turut mengakui antara kebimbangan utama sekiranya had tempoh jawatan diperkenalkan, ialah risiko pelaksanaan dasar dan wawasan jangka panjang tidak dapat disempurnakan sepenuhnya.
“Dari sudut kelebihan, memang ada ramai bakat dan individu berpotensi yang layak untuk memimpin. Jadi, apabila tempoh jawatan itu dipendekkan, ia memberi peluang kepada pelapis untuk mengambil alih tampuk kepimpinan.
“Namun dari sudut lain, ada pemimpin yang mempunyai keupayaan dan idea besar yang memerlukan tempoh masa lebih panjang untuk direalisasikan.
“Ada perancangan jangka panjang yang mungkin tidak mencukupi jika dihadkan kepada dua penggal atau 10 tahun,” katanya lagi. – MG Perak


