IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel yang dijual semua kepada pihak industri kuari di Simpang Pulai pada harga RM2 seliter pada Rabu.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan itu hasil daripada serbuan yang dijalankan pihaknya sekitar jam 9 malam di Kampung Kepayang, dekat sini.
Katanya, serbuan itu hasil maklumat risikan dan pemantauan selama dua minggu oleh KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan serta ketirisan barang kawalan di Ipoh.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket berkenaan memperoleh bekalan diesel pada harga anggaran RM1.50 seliter.
“Bekalan tersebut kemudiannya dijual kepada pihak industri, khususnya kuari di sekitar Simpang Pulai, dengan harga sekitar RM2 seliter.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 1,400 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki minyak tambahan berkapasiti 2,000 liter,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.’
Menurut beliau, susulan itu KPDN Perak menyita kesemua bahan bakar itu bersama dengan sebuah lori, dua tangki IBC beserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM35,110.
Kata Kamalludin, antara modus operandi sindiket berkenaan adalah bergerak aktif pada waktu malam bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Bekalan diesel tersebut dipercayai diperoleh daripada stesen-stesen minyak di kawasan berhampiran.
“Selain itu ia melibatkan pemandu lori yang tidak amanah dengan menjual lebihan minyak kepada sindiket ini secara haram.
“Bahan bakar berkenaan kemudiannya dipindahkan terus ke dalam tangki tambahan yang telah diubah suai pada kenderaan sebelum diagihkan kepada pembeli di pasaran gelap,” ujar beliau.
Justeru kata beliau, pihaknya menyiasat kes itu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPDN tegur peniaga festival makanan, tanda harga perlu lebih jelas


