KEPALA BATAS – Kehilangan pelakon Nadiah Kasumawati Abdul Karim, atau lebih dikenali sebagai Nadia Kesuma terungkai apabila dia dilaporkan meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi akibat sakit jantung pada 15 Januari lalu, jam 8.07 pagi waktu tempatan.
Perkara itu disahkan oleh suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, yang memaklumkan Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di Tanah Anbiya.
Dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook, beliau meluahkan rasa sedih dan kehilangan atas pemergian isteri tercinta, sambil mendoakan agar Allah SWT mengurniakan keampunan dan menempatkan Allahyarhamah dalam kalangan orang beriman.
“Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan, saya ingin mengumumkan pemergian isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim telah meninggal dunia dengan tenang di Tanah Anbiya (Jeddah),” katanya hari ini.
Beliau turut menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang isteri yang taat, penyayang, ikhlas dan setia sepanjang ikatan perkahwinan mereka.
“Saya amat bersyukur dapat menghantarnya ke destinasi terakhir. Insya-Allah, kita akan bertemu semula, mudah-mudahan di syurga,” katanya.
Muhammad Kamarul turut memetik janji Allah SWT terhadap isteri yang mentaati suami, dengan harapan Allahyarhamah dikurniakan ganjaran syurga seperti yang dijanjikan.
Media sebelum ini melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta, Nadia Kesuma gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Perkara ini dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah.
Susulan itu, suaminya merayu kerajaan Malaysia menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian isterinya yang dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, sejak 14 Januari lalu. – MalaysiaGazette


