TAPAH – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan merampas 102 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dalam operasi di Jalan Sungkai, Taman Aman, Bidor, pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berkenaan ditahan sepasukan anggota Cawangan Risikan/Task Force Batalion 3 Bidor kira-kira jam 8.15 malam selepas mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan pelbagai jenis rokok yang disyaki diseludup.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku memiliki serta menjual rokok seludup dan dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak kira-kira tiga tahun lalu.
“Suspek juga mendakwa mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan setiap minggu sebelum mengedarkannya kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Alwi berkata, susulan itu pihak polis merampas kesemua rokok berkenaan, kereta dan satu unit kunci, selain suspek direman selama empat hari sehingga 2 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan masih dalam proses penilaian, manakala sampel barang kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan analisis.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran rokok disyaki seludup berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Perak akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai di negeri ini.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti penjualan atau pengedaran rokok tidak bercukai serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Negara rugi RM10b setahun akibat rokok seludup


