Lelaki cedera ditembak di stesen minyak Bidor

TAPAH – Seorang lelaki cedera selepas ditembak ketika berada di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor, di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.08 petang ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 41 tahun, tiba di stesen minyak itu menaiki Toyota Land Cruiser untuk mengisi minyak.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam kemudiannya datang dari arah pekan Bidor sebelum berhenti di hadapan kenderaan mangsa.

“Dua lelaki yang dipercayai bersenjatakan senjata api kemudian keluar dari kenderaan berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa terkena satu das tembakan di bahagian bahu kiri, manakala empat lagi individu yang berada di dalam kenderaan sama tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Mohd Alwi berkata, mangsa yang dilaporkan berada dalam keadaan stabil sebelum itu mendapatkan rawatan di Hospital Tapah sebelum kemudiannya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Beliau berkata, pemeriksaan pasukan forensik di lokasi kejadian menemukan satu peluru 9mm Luger, empat kelongsong peluru 9mm Luger serta serpihan anak peluru.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan mangsa turut menemukan beberapa serpihan anak peluru dan kesan tembakan pada bahagian kenderaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian,” jelasnya.

Beliau berkata, pasukan penyiasat turut menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa lokasi berkaitan, termasuk laluan sekitar Bidor dan plaza tol yang dikenal pasti.

“Pemeriksaan serta analisis barang kes berkaitan juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ujar Mohd Alwi, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Dua suspek culik maut berbalas tembakan dengan polis di Alor Setar

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI