Pelajar SBP Kuala Kangsar maut: Polis sah tiada unsur jenayah

IPOH – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah atau ‘foul play’ dalam kes kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, semakan dijalankan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak sekolah tidak menemukan sebarang petunjuk wujudnya unsur jenayah atau penglibatan individu lain dalam kejadian itu.

Katanya, hasil bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping mengesahkan punca kematian adalah akibat jerutan pada bahagian leher.

“Tiada kesan kecederaan lain ditemukan pada tubuh badan mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.

Menurut beliau, polis setakat ini sudah merakam percakapan 13 individu termasuk ibu bapa mangsa, pelajar dan guru di sekolah berkenaan bagi membantu siasatan kes.

Mohd Alwi berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan dengan mendapatkan keterangan lanjut daripada rakan-rakan mangsa bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kita tidak menjurus kepada satu-satu aspek sahaja, sebaliknya melihat kepada corak perlakuan mangsa berdasarkan kenyataan yang diambil daripada rakan-rakannya,” katanya.

Mohd Alwi berkata, berdasarkan semakan CCTV, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10.35 pagi sebelum mangsa ditemukan seorang pelajar lain pada jam 2.45 petan.

“Seorang pelajar telah pergi ke tandas, sebelum menemukan mangsa di lokasi kejadian,” katanya lagi.

Beliau berkata, mangsa difahamkan sudah berada di bilik sakit sekolah itu sejak Isnin lalu kerana bilik berkenaan dikhaskan untuk pelajar yang kurang sihat sebelum dihantar ke hospital jika memerlukan rawatan lanjut.

Tambah beliau, pihak sekolah turut menyediakan kemudahan CCTV di bilik berkenaan bagi membolehkan guru membuat pemantauan terhadap pelajar yang sedang berehat kerana masalah kesihatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes itu tidak masih diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah SBP di Kuala Kangsar ditemukan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah berkenaan pada petang Rabu sebelum disahkan meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam satu kenyataan mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan insiden tersebut. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

JPN Perak arah pihak sekolah beri kerjasama kepada polis susulan insiden kematian pelajar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI