IPOH – Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN Perak) mengarahkan pihak sekolah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan insiden kematian seorang murid Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Perak hari ini.
JPN Perak menerusi satu kenyataan media memaklumkan, pihaknya sedang memantau perkembangan insiden berkenaan secara dekat bagi memastikan kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak polis sepanjang proses siasatan dijalankan.
Pada masa sama, JPN Perak menyelaras perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya.
“JPN Perak menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian murid berkenaan yang disahkan meninggal dunia di sekolah terbabit,“ katanya hari ini.
Selain itu, JPN Perak akan memastikan komunikasi dengan keluarga murid dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, di samping memberikan bantuan serta sokongan yang bersesuaian.
Dalam pada itu, JPN Perak memohon semua pihak agar menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya melalui media sosial.
“Langkah itu penting bagi menjaga sensitiviti keluarga serta memastikan kelancaran proses siasatan berhubung insiden berkenaan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JPN, PPD diminta sediakan laporan lengkap insiden pelajar meninggal dunia di sekolah – Exco


