KUALA KANGSAR – Kerajaan Negeri Perak meminta pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyediakan laporan penuh susulan kematian mengejut membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di daerah ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan ketika sedang menghadiri mesyuarat di Seri Iskandar sekitar jam 5 petang tadi.
“Semasa sedang dalam mesyuarat di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar, saya telah dimaklumkan bahawa terdapat satu kes mati mengejut melibatkan pelajar dari salah sebuah sekolah di daerah Kuala Kangsar. Saya tinggalkan mesyuarat dan bergegas terus ke tempat kejadian dan melihat sendiri kejadian tersebut.
“Saya telah minta pihak sekolah, PPD Kuala Kangsar dan JPN Perak untuk menyediakan laporan penuh tentang kejadian,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.
Khairudin berkata, beliau tidak akan mengulas lanjut mengenai kejadian itu bagi menghormati keluarga mangsa serta memastikan proses undang-undang berjalan dengan sewajarnya serta merakamkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan negeri kepada keluarga mangsa atas kejadian tersebut.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar sebuah sekolah berasrama penuh (SBP), di sini, dipercayai ditemukan meninggal dunia dalam kawasan sekolah itu, hari ini.
Jenazah mangsa dipercayai dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Keluarga pelajar kena tikam saman kerajaan: Proses undang-undang ikut prosedur


