KPDN Perak sita 193 alat ganti kenderaan berat disyaki tiruan

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, menyita 193 unit alat ganti kenderaan berat yang disyaki tiruan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kawasan Perindustrian IGB, di sini.

Rampasan membabitkan pelbagai jenis alat ganti kenderaan berat yang menggunakan cap dagangan berjenama terkenal itu dianggarkan bernilai RM26,165.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi operasi membanteras penjualan dan pengedaran barangan tiruan itu dilakukan hasil aduan serta maklumat daripada wakil pemilik cap dagangan berkenaan.

Menurutnya, aduan diterima susulan kegiatan penjualan alat ganti kenderaan berat berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 193 unit alat ganti kenderaan berat pelbagai jenis disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah pada barangan berkenaan.

“Wakil pemilik cap dagangan turut melakukan pengesahan awal terhadap barangan yang ditemukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, kesemua barangan serta dokumen berkaitan telah disita bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Anggota KPDN Peran memeriksa alat ganti kenderaan berat yang disyaki tiruan dalam serbuan di sebuah premis perniagaan di Kawasan Perindustrian IGB, Ipoh. Foto KPDN Perak.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) akta sama kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 100 iaitu memiliki menjaga atau mengawal barangan yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah bagi tujuan perdagangan atau pengilangan.

Kamalludin berkata, KPDN memandang serius usaha membanteras penjualan barangan tiruan bukan sahaja bagi melindungi kepentingan pengguna, malah memastikan hak pemilik cap dagangan terus terpelihara.

Katanya, pemantauan dan risikan berterusan akan dipertingkatkan terhadap premis perniagaan yang menjual barangan berjenama bagi membendung kegiatan pengedaran serta penjualan produk tiruan.

“Usaha ini penting bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap persekitaran perniagaan dan perlindungan hak harta intelek, khususnya di Perak,” katanya. – MG Prak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI