Mahasiswa Perak mahu baucer buku diteruskan, beri banyak manfaat

IPOH – Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak yang diperkenalkan kerajaan negeri disifatkan sebagai bantuan bermanfaat dalam meringankan beban pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mendapatkan bahan bacaan terutamanya buku berkaitan pengajian.

Bagaimanapun, mahasiswa di negeri ini berharap Belanjawan Perak 2027 tidak hanya tertumpu kepada bantuan pembelian buku, sebaliknya turut mengambil kira keperluan lain yang semakin membebankan golongan penuntut.

Tinjauan Malaysia Gazette Perak (MG Perak) mendapati, kebanyakan pelajar amat menghargai usaha kerajaan negeri menyediakan bantuan baucar buku namun berharap lebih banyak inisiatif lain disalurkan bersesuaian dengan keperluan semasa.

Penerima bantuan, Nur Humaira Mohamad Rossidi, 18, berkata, baucar itu memudahkannya mendapatkan pelbagai bahan bacaan, termasuk novel dan buku akademik.

Belanjawan Perak 2027: Bantuan baucar buku banyak beri manfaat, mahasiswa mahu inisiatif diteruskan
Pelajar, Nur Humaira Mohamad Rossidi, 18, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Pelajar semester dua Diploma Animasi itu berkata, bantuan berkenaan amat berguna kerana buku adalah antara keperluan penting sepanjang pengajian.

“Baucar ini memudahkan saya membeli buku yang ingin dibeli, sama ada novel atau buku untuk belajar. Saya rasa bantuan ini amat berguna kerana pelajar memerlukan buku untuk belajar,” katanya yang menuntut di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini.

Pada yang sama, dia juga berharap supaya lebih banyak bantuan peranti seperti komputer dan peralatan berkaitan diberikan memandangkan bidang pengajiannya mempunyai tugasan yang berat, terutama projek semester akhir.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Diploma Animasi, Muhammad Shazriq Firdaus Mohd Hilmi, 19, berkata, pemberian baucar buku tersebut adalah salah satu insentif paling bermanfaat diberikan kerajaan negeri kepada pelajar IPT sepertinya.

Belanjawan Perak 2027: Bantuan baucar buku banyak beri manfaat, mahasiswa mahu inisiatif diteruskan
Pelajar, Muhammad Shazriq Firdaus Mohd Hilmi, 19, ketika ditemui di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Bagaimanapun, dia berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan kewangan bagi menampung sebahagian kos pengajian, khususnya kepada pelajar layak yang kurang berkemampuan.

“Bantuan untuk menampung kos pengajian juga diperlukan kerana ada pelajar yang tidak mampu membayar yuran. Jika boleh, kerajaan negeri membantu membiayai sebahagian kos pengajian,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Misya Emaleen Amir, 18, berkata, dia merancang menggunakan baucar buku yang diterima pada awal April untuk membeli buku berkaitan subjek pengajian, termasuk Sejarah dan Falsafah.

Selain bantuan baucar buku, dia berharap kerajaan negeri mempertimbangkan bantuan berbentuk peralatan pembelajaran dan bahan bacaan bagi menyokong keperluan mahasiswa yang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Belanjawan Perak 2027: Bantuan baucar buku banyak beri manfaat, mahasiswa mahu inisiatif diteruskan
Pelajar, Misya Emaleen Amir, 18, ketika temubual bersama MalaysiaGazette (MG) Perak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 NOVEMBER 2026.

“Pertimbangan juga perlu diberikan kepada aspek lain, termasuk keselamatan. Selain itu, bantuan yuran pengajian kepada pelajar mengikut bidang yang diambil dapat mengurangkan beban mereka,” jelasnya.

Pada tahun ini, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM750,000 untuk Bantuan Baucar Buku yang memanfaatkan 5,000 mahasiswa anak Perak.

Bantuan dengan nilai RM150 seorang itu bertujuan membantu meringankan kos pembelian bahan rujukan dan buku pengajian. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak teruskan program Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI