IPOH – Seramai 669 mangsa banjir di negeri Perak ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di lima daerah, setakat pagi Khamis.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menerusi kenyataan berkata, kesemua mereka terdiri daripada 236 keluarga dari daerah Kerian, Larut Matang dan Selama (LMS), Perak Tengah, Hilir Perak serta Manjung.
Katanya, di Hilir Perak, 108 mangsa daripada 34 keluarga masih berlindung di sebuah PPS yang dibuka di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).
Menurutnya lagi, kesemua mereka dari kawasan kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Batu 6 Changkat Jong, Batu 7 Changkat Jong, Batu 7 1/2 Jalan Changkat Jong (Felcra), Batu 8 Changkat Jong, Batu 9 Changkat Jong, serta Batu 10, Changkat Jong.
“Sementara di LMS, 34 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Batu Hampar dan 173 mangsa dari 65 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Matang.
“Kesemua mereka dari Kampung Berjaya, Sungai Rotan, Kampung Batu 23 dan Kampung Matang,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, satu PPS di Kerian iaitu di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah memberi perlindungan kepada 44 individu dari 15 keluarga yang terjejas banjir di kawasan Belakang Gerai Tepi Kolam Bukit Merah serta Kampung Tepi Kolam Bukit Merah.
Sementara di Manjung, PPS Sekolah Rendah Agama Padang Serai dan di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di Kerian, masing-masing masih menempatkan 131 dan 117 mangsa banjir.
“Dua PPS di Perak Tengah iaitu di Sekolah Kebangsaan Dato Sagor memberi perlindungan kepada 22 mangsa daripada lima keluarga dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Belanja pula, menempatkan 40 mangsa daripada 23 keluarga,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, paras air di stesen Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah merekodkan bacaan bahaya iaitu 9.18 meter berbanding 8.68 paras normal. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


