Dua kejadian serangan mungkin libat harimau sama – Perhilitan Perak

IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, tidak menolak kemungkinan kejadian Orang Asli maut semalam dan pada September lepas melibatkan harimau belang yang sama.

Pengarah Perhilitan Perak, Dr Fazil Abdul Patah berkata, ia berdasarkan jarak lokasi serangan yang berdekatan, iaitu kawasan hutan berhampiran Lata Serai, Kampung Bawong, Sungai Siput dalam kejadian semalam dan di Kampung Takong, Pos Perwor pada 21 Sept.

“Ini kejadian kedua direkodkan di kawasan berkenaan dalam tempoh dua bulan selepas seorang lelaki Orang Asli dari Kampung Takong maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di hutan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Fazil berkata sebanyak 12 anggota Perhilitan Perak telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan rondaan dan kawalan malam berikutan kemungkinan harimau belang itu masih berada di kawasan berhampiran.

“Kita juga akan memasang perangkap dan kamera bagi mengesan keberadaan harimau belang di situ,” katanya.

Berhubung serangan harimau belang semalam, Fazil berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada penduduk setempat pada 4.10 petang dan mangsa Ngah Itam, 65, dipercayai masuk ke kawasan hutan bersendirian untuk mencari buluh.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi serangan dipercayai berlaku,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan penduduk setempat, khususnya komuniti Orang Asli di sekitar Kampung Bawong supaya lebih berwaspada dan mengambil langkah keselamatan apabila memasuki kawasan hutan. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI