BATU GAJAH – Sebanyak RM500,000 disalurkan Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) menerusi Program Kampung Angkat MADANI 2026 bagi menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur Kampung Seri Jaya, di sini.
MDIO dalam satu kenyataan media berkata, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Menurutnya lagi Program Kampung Angkat MADANI ini turut mendukung aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030, khususnya dalam memperkukuh hubungan awam-tentera (CIMIC) melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan masyarakat.
“Menerusi pendekatan Whole of Government & Whole of Society (WOGOS), program ini mencerminkan peluasan peranan MINDEF sebagai rakan pembangunan nasional yang turut menyumbang kepada kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran dan sumber antara agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif pembangunan dapat diselaraskan secara berkesan serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Kampung Seri Jaya,” katanya.
Katanya lagi, program yang diterajui MDIO dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Perak itu memberi tumpuan kepada lima komponen utama pembangunan melibatkan kemudahan rekreasi, pendidikan awal kanak-kanak serta infrastruktur kampung.
“Antara projek yang dilaksanakan ialah menaik taraf gelanggang futsal dan kemudahan Tabika KEMAS bagi menyediakan persekitaran lebih selesa kepada golongan kanak-kanak serta penduduk setempat.
“Turut diberi perhatian ialah kerja penurapan jalan menggunakan premix sepanjang kira-kira 50 meter selain pembaikan dan penaiktarafan sistem perparitan bagi menangani masalah banjir,” katanya.
Tambah MDIO, program berkenaan turut merangkumi pembinaan pintu gerbang serta pemasangan papan tanda Kampung Angkat MADANI MDIO 2026 sebagai identiti baharu kampung berkenaan.
Keseluruhan inisiatif itu bertujuan memastikan penduduk menikmati kemudahan lebih baik, selamat dan selesa, sekali gus mewujudkan persekitaran kampung yang lebih teratur serta kondusif.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani MDIO 2026 di Kampung Seri Jaya, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Fazal Abdul Rahman. -MG Perak



