IPOH – Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu mengarahkan seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang penghuni pusat jagaan dalam kejadian awal bulan ini, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, di sini, bagi menjalani penilaian psikiatri.
Tertuduh, Soo Kim Keong, 51, yang juga penghuni pusat jagaan sama, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan, tanpa sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Chong Mun Long, 28.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat jagaan di Jalan Chemor, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 3 September 2026.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, S Kirthana memohon agar tertuduh dihantar ke hospital psikiatri bagi mendapatkan laporan kesihatan memandangkan keadaan mentalnya didakwa tidak stabil.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan tertuduh menjalani penilaian di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bagi tujuan penyediaan laporan psikiatri.
30 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan psikiatri.
Difahamkan, berlaku perselisihan faham antara kedua-duanya sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa yang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan disahkan meninggal dunia pada 17 September lalu.
Berdasarkan hasil bedah siasat, punca kematian mangsa disebabkan jangkitan paru-paru serta kecederaan tumpul pada kepala.
Susulan itu, tertuduh ditahan pada 18 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Kes kematian penghuni rumah jagaan: Premis beroperasi tanpa lesen, mangsa dipukul, dipijak


