Kes kematian penghuni rumah jagaan: Premis beroperasi tanpa lesen, mangsa dipukul, dipijak

IPOH – Laporan bedah siasat ke atas lelaki yang ditemukan maut di sebuah pusat jagaan di Taman Choong Kwee, Tanjung Rambutan di sini pada Selasa lalu mendapati punca kematian disebabkan kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, keputusan itu diperoleh selepas proses bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada malam 3 Ogos lalu apabila mangsa dikatakan berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain.

“Seorang penjaga dipercayai mengarahkan mangsa diikat, sebelum beberapa penghuni bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijak mangsa,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (KJSJK) Perak dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai KJSJK Perak yang baharu manakala pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner S Saravanan yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda.

Dalam pada itu, beliau berkata, semakan awal mendapati pusat jagaan ini telah beroperasi sejak tahun 2012 dan hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Setakat ini, tiada dokumen dikemukakan yang menunjukkan premis berkenaan mempunyai pendaftaran atau lesen pengoperasian yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mahupun surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Premis ini juga didapati tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV). Polis sedang melengkapkan siasatan dari semua aspek, termasuk merakam percakapan saksi serta berhubung rapat dengan agensi-agensi berkaitan.

“Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 5 sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,“ katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang lain terhadap pengusaha atau pengurusan pusat jagaan ini, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Semalam, Mohd Alwi dilaporkan berkata, penjaga dan empat penghuni rumah berkenaan ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan mengenai kematian mangsa pada jam 2 petang, 4 Ogos lalu.

Katanya, sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki ditemukan maut di rumah jagaan, lima individu ditahan bantu siasatan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI