Permainan Jepun medium diplomasi budaya, perkukuh hubungan Malaysia-Jepun

TAIPING – Pameran OMOCHA: Mainan Jepun Masa Kini bukan sekadar memperkenalkan keunikan permainan dari negara tatahari Terbit itu, malah menjadi medium diplomasi budaya dalam memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Jepun.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, permainan mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat merentasi sempadan geografi, bahasa dan budaya.

Menurutnya, permainan bukan sahaja menjadi sebahagian daripada pengalaman kehidupan manusia, malah berperanan membentuk nilai positif dalam kalangan kanak-kanak seperti kreativiti, kerjasama, disiplin, persahabatan dan semangat kebersamaan.

“Melalui permainan, kanak-kanak mempelajari nilai kreativiti, kerjasama, disiplin, persahabatan dan semangat kebersamaan.

“Permainan juga menjadi medium yang menghubungkan generasi serta mencerminkan perubahan sosial, teknologi dan budaya sesebuah masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran OMOCHA: Mainan Jepun Masa Kini di Muzium Perak, di sini, pada Khamis.

Hadir sama pada majlis berkenaan Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Kobayashi Masamori dan Pengarah Jepun Foundation Kuala Lumpur, Tsukamoto Norihisa.

Pengunjung melawat pameran OMOCHA Mainan Jepun Masa Kini di Muzium Perak, Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 NOVEMBER 2026.

Tambahnya, pengenalan permainan Jepun kepada masyarakat Malaysia turut membuka ruang untuk mengenali keunikan budaya negara berkenaan, selain menemukan persamaan nilai kemanusiaan yang dikongsi kedua-dua masyarakat.

“Inilah kekuatan sebenar diplomasi budaya. Ia membolehkan masyarakat daripada latar belakang berbeza saling mengenali, memahami dan menghargai antara satu sama lain tanpa dibatasi oleh perbezaan bahasa atau sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf peranan The Japan Foundation, Kuala Lumpur dalam memperkenalkan bahasa, seni dan budaya Jepun kepada masyarakat Malaysia, selain menggalakkan pertukaran budaya antara kedua-dua negara.

“Penganjuran pameran ini merupakan contoh bagaimana kerjasama antara institusi kebudayaan dapat memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia–Jepun pada peringkat masyarakat

“Saya berharap kerjasama yang terjalin ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pertukaran
pameran, penyelidikan, Pendidikan muzium dan perkongsian kepakaran pada masa hadapan,” katanya.

Pameran yang bermula dari 1 November hingga 13 Disember 2026 di Muzium Perak ini memperagakan sebanyak 162 koleksi permainan dalam 7 segmen utama yang memperlihatkan evolusi, kreativiti dan kepelbagaian industri permainan Jepun dari era tradisional hingga era teknologi moden. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI