TANJUNG MALIM – Kerajaan Perak menggariskan tiga keutamaan yang perlu diberikan perhatian dalam merancang pembangunan negeri, iaitu perancangan mendahului pembangunan, kecekapan penyampaian serta memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketiga-tiga perkara itu perlu menjadi asas kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi perancang bagi memastikan pembangunan negeri berlangsung secara seimbang.
Katanya, perancangan pembangunan perlu mengambil kira keperluan masa hadapan termasuk aspek perumahan, sistem pengangkutan, saliran dan kemudahan awam, seiring pertumbuhan kawasan perindustrian serta pertambahan penduduk.

“Kita sedang menyaksikan perubahan landskap ekonomi Perak melalui pembangunan kawasan perindustrian baharu, kemasukan pelaburan dan pertumbuhan pusat-pusat ekonomi di beberapa daerah.
“Saya mahu kita semua melihat lebih jauh ke hadapan. Setiap keputusan pembangunan yang dibuat hari ini mesti mengambil kira keperluan penduduk untuk 10, 20 malah 30 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Sandrea Ng Shy Ching; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak (PLANMalaysia Perak), Datuk Mohamed Zamri Mohd Zain.
Saarani berkata, kecekapan penyampaian juga perlu bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan bagi mengelakkan kelemahan penyelarasan antara agensi dan tindakan perlahan di lapangan.

Kata beliau, PBT serta agensi teknikal perlu sentiasa menambah baik kaedah kerja dengan mencari jalan untuk memudahkan urusan rakyat serta pelabur tanpa mengetepikan aspek keselamatan, alam sekitar dan kepentingan awam.
“Setiap keputusan perancangan perlu mematuhi undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan. Semua itu penting untuk memastikan pembangunan berjalan dengan teratur.
“Tetapi dalam masa yang sama, kita perlu sentiasa bersedia menambah baik kaedah kerja, mempermudah proses dan mempercepat penyampaian, selaras dengan perubahan keperluan pembangunan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu memberikan kesan positif yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian masyarakat.

“Bagi seorang penduduk, makna bandar pintar mungkin jauh lebih mudah. Apabila dia membuat aduan tentang lampu jalan yang rosak, aduan itu segera diambil tindakan.
“Apabila hujan lebat, kawasan rumahnya tidak mudah dinaiki air. Apabila membawa anak ke taman permainan, kemudahannya berada dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.
Mengulas pemilihan Tanjung Malim sebagai lokasi sambutan tahun ini, Saarani berkata, ia bertepatan dengan perubahan besar yang sedang berlaku di daerah berkenaan menerusi pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV).
Ujar beliau, pembangunan berkenaan dijangka membawa lebih banyak pelaburan, peluang pekerjaan dan pertambahan penduduk, sekali gus menuntut perancangan lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Kita mahu melihat Tanjung Malim menjadi tempat orang mencari rezeki dan pada masa sama menjadi tempat keluarga dapat menjalani kehidupan dengan selesa.
“Jangan kita biarkan pembangunan ekonomi bergerak terlalu pantas, sedangkan kemudahan dan infrastruktur untuk rakyat jauh ketinggalan di belakang,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


