GOPENG – Masyarakat perlu memainkan peranan bersama kerajaan dalam memastikan pembangunan negara dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pembangunan tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan semata-mata kerana rakyat turut mempunyai peranan dalam menentukan kemajuan negara.
“Kerajaan menyediakan dasar, kemudahan dan peluang, tetapi rakyat juga mempunyai peranan untuk memanfaatkan peluang tersebut.
“Anak-anak muda perlu menggunakan kemahiran dan teknologi untuk membina masa depan, manakala usahawan pula perlu memanfaatkan peluang yang disediakan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MADANI Kita @ DUN Teja di Dewan Bandaran Gopeng, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak, Mazlan Zurin Zulkifli.

Sandrea yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja berkata, perpaduan rakyat perlu terus diperkukuh kerana kekuatan Malaysia bergantung kepada kebersamaan masyarakat.
Justeru menurut beliau, penganjuran Program MADANI Kita di kawasan DUN Teja turut menjadi medium untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, terutama komuniti yang berada jauh dari pusat bandar.
“Melalui pendekatan seperti ini, rakyat dapat memahami dasar serta inisiatif kerajaan dengan lebih jelas, sekali gus memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan MADANI berpegang kepada prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi perlu membawa kesejahteraan kepada rakyat, khususnya golongan yang berdepan cabaran kos sara hidup.
Sandrea berkata, bantuan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan antara usaha kerajaan menyediakan sokongan secara lebih tersusun dan bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Bagaimanapun, jelas beliau, matlamat kerajaan bukan sekadar menyediakan bantuan, sebaliknya mahu memastikan rakyat mempunyai keupayaan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan keluar daripada kebergantungan terhadap bantuan.
“Kita mahu rakyat mempunyai pekerjaan yang lebih baik, pendapatan keluarga yang meningkat dan anak-anak mendapat pendidikan yang baik.
“Kita juga mahu peniaga kecil berkembang, rakyat dan anak muda mendapat lebih banyak peluang dan yang paling penting, kita mahu rakyat berdiri dengan kekuatan sendiri,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan itu selari dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan pada masa sama memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.
Sandrea berkata, kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan dapat dirasai semua lapisan masyarakat termasuk pekerja, petani, peniaga kecil, golongan muda dan warga emas.
“Kerajaan MADANI akan terus berusaha memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh ekonomi negara supaya lebih banyak peluang pekerjaan dan ruang untuk rakyat meningkatkan taraf kehidupan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pendidikan kunci utama kemajuan, angkat martabat masyarakat – Sultan Nazrin


