TANJUNG MALIM – Kejayaan perancangan bandar dan desa bukan sekadar bergantung kepada perancangan yang disediakan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan serta perubahan yang dapat dirasai masyarakat.
Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Perak (PLANMalaysia Perak), Datuk Mohamed Zamri Mohd Zain berkata, setiap perancangan pembangunan perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan berkesan.
Katanya, pembangunan bandar berprestasi tinggi memerlukan perancangan menyeluruh serta hala tuju jelas di samping memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat.
“Perancangan sahaja tidak mencukupi. Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap perancangan kita diterjemahkan kepada tindakan dan pelaksanaan yang berkesan.
“Justeru itu, kejayaan perancangan bandar dan desa bukan sekadar apa yang kita rancang, tetapi sejauh mana hasilnya dapat dilihat dan perubahan dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Negeri Perak 2026 di Dewan Sri Tanjong, Majlis Daerah Tanjong Malim, di sini, pada Khamis.
Majlis dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Sandrea Ng Shy Ching; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli.

Mengulas lanjut, Mohamed Zamri berkata, aspirasi ‘Perak Sejahtera dan Berprestasi Tinggi’ yang menjadi tema sambutan menuntut pembangunan bandar serta desa yang mampan, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti hidup rakyat.
Katanya, keunikan serta keperluan berbeza setiap daerah perlu diberikan perhatian supaya pembangunan yang dirancang bersesuaian dengan keadaan setempat dan memberikan manfaat menyeluruh.
“Perancangan bandar dan desa bukan sahaja menentukan bagaimana tanah digunakan atau pembangunan dilaksanakan, tetapi turut mencorakkan kehidupan masyarakat. Apa yang kita rancang dan bangunkan hari ini akan menentukan kehidupan kita pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, PLANMalaysia Perak terus memainkan peranan sebagai agensi peneraju perancangan bandar dan desa dalam menyokong agenda pembangunan negeri yang terancang, mampan serta berdaya tahan sepanjang tahun ini.
Mohamed Zamri berkata, antara pencapaian utama jabatan ialah kemajuan penyediaan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (Kajian Semula) sebagai panduan hala tuju pembangunan negeri bagi jangka panjang.
Ujar beliau, PLANMalaysia Perak juga meneruskan penyediaan Rancangan Tempatan Daerah Manjung 2030 bagi memperkukuh perancangan pembangunan di peringkat daerah.
“Jabatan juga terus memperkukuh aspek kawalan pembangunan melalui usaha penyediaan panduan pelaksanaan aktiviti perlombongan di negeri Perak.
“Di samping itu, turut memantapkan pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) bagi memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan khazanah alam semula jadi negeri,” ujarnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


