IPOH – Ketika kebanyakan pesara menjadikan alam perasaraan sebagai tempoh untuk berehat, Ahmad Zailani Darwis, 59, mengambil langkah berbeza dengan meneroka peluang perniagaan menerusi minat yang sudah sebati dengan diri iaitu membaiki barangan elektrik.
Bidang elektrikal dan elektronik diteroka selepas melanjutkan pengajian dalam bidang sama di London pada tahun 1987 dan ia membuka pintu kepada beliau menjawat pelbagai jawatan termasuk sebagai ketua jurutera dan perunding kejuruteraan di beberapa syarikat swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Bersandarkan pengalaman dalam bidang tersebut, pesara, Ahmad Zailani kini mengusahakan perkhidmatan membaiki pelbagai jenis barangan elektrik, termasuk peralatan lama seperti kipas, radio, televisyen, dan jam antik di sebuah kedai kecil di Pasar Besar Ipoh.
Datuk kepada lima cucu itu berkata, minat membaiki barangan berkenaan tercetus sejak kecil dan ia menjadi asas untuk beliau menguasai secara formal bidang elektrikal dan elektronik.

“Sebenarnya ini hobi dan minat saya sejak daripada kecil, kerana saya suka tengok orang membaiki dan gemar hendak tahu bagaimana televisyen yang rosak boleh baik seperti sediakala.
“Jadi, apabila ada asas dalam bidang elektrikal dan elektronik, saya kemudian cuba buat sendiri. Malah saya juga turut boleh memperbaiki pendawaian rumah yang rosak, termasuk di rumah saya sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak, di Pasar Besar Ipoh.
Ahmad Zailani yang juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran di Selangor berkata, antara barangan menarik pernah dibaikinya ialah jam automatik keluaran sekitar tahun 1950-an.
Kata beliau, kipas lama pula menjadi antara barangan yang kerap menguji kemahirannya, termasuk kipas keluaran sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.

“Memang ada barang yang sudah tidak boleh dibaiki, tetapi lazimnya, saya akan tengok dahulu dan kalau sudah tahu masalahnya saya cuba baiki.
“Ini kerana pada kebiasaanya, saya tahu bahagian mana yang perlu diperiksa dan bagaimana hendak menyelesaikan masalah kerosakan itu,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui tidak semua barangan mampu dibaiki kerana terdapat kerosakan tertentu yang memerlukan komponen atau kepakaran yang tidak dimilikinya.
Alat ganti lama jadi cabaran utama
Menurut Ahmad Zailani, cabaran terbesar dalam perniagaan yang diusahakan itu adalah untuk mendapatkan alat ganti, khususnya bagi barangan elektrik lama yang komponennya tidak lagi disimpan oleh pusat servis tempatan.
Kata beliau, keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan komponen dari luar negara melalui platform dalam talian seperti Shopee dan eBay, malah ada alat ganti yang mengambil masa sehingga sebulan untuk diperoleh.

Beliau berkata, ada kalanya masalah menjadi lebih rumit apabila komponen yang diterima tidak sepadan dengan barangan asal, menyebabkan ia perlu dipulangkan semula dan proses pembaikan terpaksa ditangguhkan kepada tempoh yang lebih lama.
“Saya bersyukur walaupun perniagaan saya ini kecil tetapi sambutan pelanggan amat menggalakkan apabila ada yang datang dari Gerik dan Kuala Lumpur untuk mendapatkan perkhidmatan saya.
“Kerosakan mudah seperti pada periuk nasi, kipas dan pengisar pada kebiasaan boleh disiapkan kira-kira sejam jika alat ganti tersedia, manakala radio dan televisyen perlu mengambil masa lebih lama. Caj pula dikenakan sekitar RM10 sehingga RM50 bergantung kepada setiap jenis barangan dan kerosakan,” jelasnya.

Bagi Ahmad Zailani, kepuasan utama buat dirinya bukan sekadar pada bayaran semata-mata, tetapi apabila berjaya menghidupkan semula barangan yang dianggap sudah tidak boleh digunakan.
Berkongsi lanjut beliau berkata, meskipun melangkau tempoh bersara, keputusan untuk terus bekerja dibuat atas dasar kerana mahu menjaga ibunya yang uzur di samping memastikan mindanya terus aktif menjelang usia emas.

“Sebelum ini saya menetap di Selangor, dan saya pulang ke Ipoh untuk menjaga ibu saya yang kini berusia 81 tahun. Walaupun sudah tiga tahun bersara dalam dunia pekerjaan, saya buat perkhidmatan ini kerana mahu minda saya terus bergerak.
“Setiap kerosakan itu saya anggap ia seperti satu teka-teki kerana ia perlu difikirkan bagaimana hendak selesaikan masalah tersebut. Saya percaya, apabila anggota badan terus bergerak, dan minda terus berfikir, kita akan lebih sihat walaupun masuk pada usia warga emas nanti,” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad Zailani berkata, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus diberi perhatian kerana kemahiran yang diperoleh bukan sahaja boleh membuka peluang pekerjaan, malah berpotensi menjadi asas kepada perniagaan sendiri.
“TVET bukan sahaja beri peluang pekerjaan tetapi juga peluang perniagaan baharu kerana mereka sudah ada kemahiran itu.
“Cuma, untuk terus relevan, asas yang dipelajari perlu sentiasa diperbaharui kerana bidang elektrikal dan elektronik ini sentiasa berubah, serta teknologi masa kini semakin pantas berkembang mengikut peredaran zaman,” katanya lagi. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
90 peratus peserta TVET Modular Perak berjaya ditempatkan bekerja


