90 peratus peserta TVET Modular Perak berjaya ditempatkan bekerja

IPOH – Sebanyak 90.09 peratus peserta Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Modular Industri di Perak berjaya ditempatkan bekerja selepas tamat latihan bagi tempoh 2022 hingga Jun lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan program latihan yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi agensi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dalam memenuhi keperluan industri.

“Kerajaan negeri melalui PASAK telah menjalankan sebanyak 289 Program TVET Modular Industri yang telah memberi manfaat kepada seramai 4662 orang peserta dalam kalangan rakyat Perak. 

“Keberkesanan Program TVET Modular Industri ini terbukti apabila sebanyak 90.09 peratus atau seramai 4,200 orang peserta telah ditempatkan bekerja selepas tamat latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) pada Mesyuarat Kedua, Tahun Keempat Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini pada Khamis.

Khairudin berkata, Program TVET Modular Industri dilaksanakan mengikut acuan industri dengan penglibatan pemain industri bertauliah yang beroperasi di negeri ini bagi memastikan latihan yang diberikan selari dengan keperluan pasaran kerja.

Jelas beliau, pendekatan itu turut memberi keutamaan kepada anak-anak Perak untuk mengikuti latihan, selain memfokuskan padanan serta penempatan pekerjaan kepada peluang kerjaya yang tersedia dalam negeri.

Selain TVET Modular Industri, beliau berkata, terdapat 11 lagi kluster program TVET di bawah PASAK yang berteraskan latihan praktikal jangka pendek bagi memperluas akses serta peluang peningkatan kemahiran kepada anak-anak Perak.

Menurut Khairudin, sebanyak 430 program latihan TVET telah dilaksanakan dalam tempoh sama, membabitkan 7,161 peserta dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Dasar ini bertujuan memastikan manfaat daripada inisiatif pemerkasaan TVET dapat dinikmati secara menyeluruh oleh industri tempatan yang berdaftar di negeri ini.

“Pelaksanaan program TVET jangka pendek ini memberi ruang kepada anak Perak memperoleh pendedahan awal terhadap asas kemahiran dalam pelbagai bidang,” ujarnya.

Khairudin berkata, pembangunan TVET bukan sahaja dapat memperkukuh kebolehpasaran belia, malah membantu memenuhi keperluan tenaga kerja industri tempatan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Perak secara berterusan. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dari pisang goreng tepi jalan ke kedai makan, TVET ubah nasib Azabillah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI