MCA gesa kerajaan kawal kemasukan syarikat asing, PKS tempatan makin terhimpit

KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas bagi melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang semakin tertekan akibat kemasukan pesat syarikat asing ke pasaran Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi dan PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low mendedahkan, kehadiran syarikat asing yang memiliki kelebihan modal besar, rantaian bekalan kukuh dan sumber rentas sempadan telah mewujudkan persaingan tidak seimbang.

Ini katanya menjejaskan daya tahan PKS tempatan pada masa ini.

“Dengan kekuatan modal dan skala operasi, syarikat asing mampu menguasai pasaran melalui harga agresif, promosi berpanjangan dan pengiklanan besar-besaran, menyebabkan PKS tempatan semakin terhimpit dan sukar untuk bersaing secara mampan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Lawrence, situasi itu diburukkan lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar, apabila kos operasi perniagaan terus meningkat termasuk harga bahan mentah, sewaan premis, kekurangan tenaga kerja, kenaikan tarif elektrik serta keperluan pematuhan peraturan semakin ketat.

Katanya, persaingan kini bukan sahaja sengit di pasaran fizikal, malah turut berlaku secara agresif dalam platform dalam talian, menyebabkan PKS tempatan berdepan tekanan dari semua arah.

“Apabila PKS tempatan tersingkir lebih awal, pasaran berisiko dikuasai oleh segelintir syarikat asing berskala besar.

“Dalam jangka panjang, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan peniaga tempatan, malah boleh membawa kepada amalan monopoli dan menekan kepentingan pengguna,” ujarnya.

Lawrence turut memberi amaran bahawa kesan paling segera akibat kejatuhan PKS ialah kehilangan pekerjaan, memandangkan sektor itu merupakan antara penyumbang utama peluang pekerjaan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, katanya, penyusutan perniagaan tempatan akan melemahkan kutipan cukai dan caruman sosial, sementara pada masa sama meningkatkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan, sekali gus memberi tekanan berganda kepada kewangan negara.

Beliau menegaskan MCA tidak menentang pelaburan asing, namun menekankan keperluan pelaburan yang memberi limpahan manfaat kepada ekonomi domestik dan mengukuhkan ekosistem PKS tempatan.

“PKS tempatan bukan menolak persaingan. Mereka hanya tidak mampu bertahan dalam keadaan yang tidak seimbang.

“Tanpa dasar dan kawal selia yang jelas, penguasaan modal besar akhirnya akan merosakkan keseluruhan ekosistem ekonomi negara,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, MCA menggesa kerajaan menyemak semula dasar serta rangka kawal selia berkaitan kemasukan dan peluasan syarikat asing selain memperkukuh sokongan bersasar kepada PKS.

Ini termasuk penguatkuasaan anti-monopoli, bantuan kewangan, insentif cukai dan sokongan transformasi digital. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI