Bekas pekerja ladang terima geran, rancang bina rumah

SUNGAI SIPUT – Seramai 34 bekas pekerja ladang getah di sini akhirnya menerima geran hak milik tanah yang diperjuangkan sejak tahun 1999, sekali gus membuka lembaran baharu untuk mereka memiliki kediaman sendiri.

Mereka adalah bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak yang menerima geran hak milik tanah menerusi Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Wilayah Batu 1, Mukim Sungai Siput, Daerah Kuala Kangsar hasil usaha Kerajaan Negeri Perak.

Salah seorang penerima, M Mageswari, 73 berkata, pelbagai usaha telah dilakukan sehingga dia berjaya memperoleh geran berkenaan.

”Terlalu banyak perjuangan yang kami lalui dan berkat kesabaran itu akhirnya membuahkan hasil dan hari ini saya berjaya mendapatkan geran ini.

“Tanah ini akan saya digunakan untuk membina rumah dalam masa terdekat,” katanya yang pernah berkhidmat di Ladang Kamiri selama 24 tahun.

Mageswari berkata demikian kepada media selepas menerima geran tersebut pada Majlis Penyampaian Hak Milik RPT Wilayah Batu 1, Mukim Sungai Siput, Daerah Kuala Kangsar di Arena Pavilion Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U), pada Selasa.

Penyampaian hak milik tanah itu disempurnakan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee.

Bekas pekerja ladang terima geran, rancang bina rumah
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan ketika sesi bergambar bersama penerima geran pada Majlis Penyampaian Bagi Hakmilik RPT Batu 1, Mukim Sungai Siput, Daerah Kuala Kangsar di Arena Pavilion Pejabat Daerah dan Tanah Sungai Siput (U), pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 JANUARI 2026.

Sementara itu, S Yugashini, 34, cucu kepada mendiang, C Sinnamiah iaitu salah seorang pekerja ladang turut meluahkan rasa gembira apabila mereka menerima geran hak milik tanah berkenaan.

“Sepatutnya geran hak milik ini adalah kepunyaan nenek saya namun dia (nenek) sudah meninggal dunia. Selama 65 tahun dia tinggal di estet ini. Sekarang geran ini anak dia (makcik) yang dapat,“ jelasnya yang memaklumkan neneknya meninggal dunia pada tahun 2011.

Mengulas perancangan masa depan, dia berkata, tanah tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan pembinaan rumah sebagai simbol penghormatan kepada neneknya.

“Mestilah bina rumah. Selepas bina rumah, kami akan letakkan nama nenek saya dan kami semua akan tinggal di sana. Sebab itulah kami mahukan geran ini,” ujarnya.

Pembangunan RPT Wilayah Batu 1 dengan keluasan 36.6593 hektar (98.26 ekar) telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 22 Julai 2009.

Secara dasarnya, perancangan asal RPT ini adalah bertujuan bagi menempatkan semula penghuni setinggan di dalam Daerah Kecil Sungai Siput. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penantian lebih dua dekad berakhir, bekas pekerja ladang dapat tanah

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI