IPOH – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi program Kampung Angkat MADANI (KAM) terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni penduduk setempat melalui penyerahan bantuan bakul makanan kepada 30 asnaf terpilih dari Gugusan Manjoi.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, inisiatif tersebut adalah usaha berterusan pihaknya dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika masyarakat berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Harapan kami agar segala bentuk bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan keceriaan kepada penerima dan seterusnya dapat menyebarkan mesej kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
“Kami juga sedar bahawa dalam keadaan ekonomi yang mencabar, masih ada keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Sumbangan bakul makanan ini mungkin kelihatan sederhana, tetapi saya percaya ia membawa mesej yang besar bahawa mereka tidak bersendirian dan masih ada pihak yang mengambil berat dan sentiasa bersedia membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian KAM di Dataran Niaga Kampung Manjoi, di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Mohd Zakuan Zakaria dan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu penerima meringankan beban dan memberi kelegaan dalam menguruskan keperluan harian.
“Apa yang lebih penting, kita mahu membina rasa kebersamaan dalam komuniti apabila yang mampu membantu yang memerlukan,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kampung Angkat MADANI: Pembangunan Dataran Niaga Kampung Manjoi rancakkan ekonomi setempat


