KUALA LUMPUR — Usaha kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan berkaitan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilihat sebagai reformasi yang masih memerlukan penelitian mendalam, meskipun disokong secara prinsip oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Setiausaha Agungnya, Ainie Haziqah berkata, parti itu menyambut baik hasrat memisahkan kedua-dua jawatan berkenaan, namun menegaskan pelaksanaannya tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa memperincikan aspek ketelusan serta mekanisme semak dan imbang yang kukuh.
“MUDA menyokong dan mahu melihat reformasi ini terjadi. Namun begitu, saya percaya bahawa pemisahan ini tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku hanya atas nama pemisahan tanpa meneliti soal ketelusan dan proses semak imbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, keutamaan mesti diberikan kepada usaha memastikan jawatan Pendakwa Raya benar-benar bebas daripada sebarang pengaruh Eksekutif atau Perdana Menteri.
Tegasnya, reformasi tidak seharusnya bersifat kosmetik atau sekadar perubahan struktur, sebaliknya perlu menjamin kebebasan institusi secara substantif.
Ainie turut membangkitkan komposisi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) yang berperanan mencadangkan calon Pendakwa Raya kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Apakah keperluan perlantikan ini dibuat oleh Perdana Menteri jika kerajaan benar-benar mahu kedua-dua jawatan besar ini bebas dari mana-mana pengaruh?” soalnya.
Selain itu, MUDA mempersoalkan cadangan memasukkan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara sebagai anggota SPKP yang menurutnya berpotensi menimbulkan konflik kepentingan, apatah lagi suruhanjaya berkenaan turut mengurus representasi tindakan tatatertib terhadap Pendakwa Raya.
Parti itu juga menegaskan bahawa ketiadaan peranan Parlimen dalam proses tapisan atau pengesahan pelantikan Pendakwa Raya merupakan satu kelemahan ketara dalam RUU tersebut.
“Pendakwa Raya yang telah dilantik juga kemudiannya boleh diwajibkan untuk melaporkan kepada Parlimen prestasi atau sebarang tindakan dan keputusan yang melibatkan kepentingan awam,” katanya lagi.
Sehubungan itu, MUDA berpandangan pelantikan berkenaan wajar melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen secara dwipartisan bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Parti itu turut mempersoalkan penggunaan frasa “menurut budi bicara” Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Pendakwa Raya yang berbeza daripada kebiasaan frasa “atas nasihat” bagi jawatan tinggi lain.
Berikutan itu, MUDA mendesak bacaan kedua RUU berkenaan ditangguhkan dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.
“Tiada guna kita tergesa-gesa meluluskan pindaan undang-undang yang hanya gah atas nama tetapi tiada ketelusan dan tidak membebaskan peranan sebenar jawatan-jawatan besar ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette


