IPOH – Guru pada masa ini diingatkan untuk menjiwai dunia sebagai warga dengan mendalam di samping memiliki tahap kesabaran yang tinggi dalam mendidik anak murid dalam mendepani cabaran pendidikan yang semakin kompleks.
Menurut penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2026, Abdul Rasid Bakar, 64, kekuatan dan jiwa yang besar amat diperlukan sebagai individu bergelar guru khususnya buat golongan guru muda yang berhadapan dengan cabaran dunia pendidikan moden.

Bekas guru Kimia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka itu berkata, ini kerana tugas utama sebagai pendidik adalah untuk membentuk insan dan bukan hanya sekadar menghabiskan silabus pembelajaran.
“Cabaran sekarang saya tahu memang berbeza berbanding zaman 80-an atau 90-an. Jadi guru sekarang kena banyak bersabar, dan dia tak boleh setakat mengajar sahaja.
“Kita kena sentuh hati murid. Sentuhan hati guru kepada murid sebenarnya boleh membuka minda dan kesanggupan mereka untuk belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Sabtu.
Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam majlis itu, Anwar turut menyampaikan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), selain Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Dr Ahmad Rafee Che Kassim.
Mengulas berkenaan penganugerahan diterima, anak jati Alor Setar, Kedah itu mengakui beliau tidak menyangka akan dipilih sebagai Tokoh Guru lebih-lebih lagi selepas lapan tahun melalui tempoh persaraan.
Jelas Abdul Rasid, sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam dunia pendidikan, beliau tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah, sebaliknya hanya fokus kepada tanggungjawab di dalam bilik darjah.

“Kebiasaannya anugerah begini diberikan kepada pihak kepimpinan (pentadbir), sedangkan saya hanyalah guru biasa di bilik darjah.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka mula mengiktiraf guru yang kekal mengajar di dalam kelas.
“Saya anggap anugerah ini adalah mewakili semua guru yang masih mengajar di bilik darjah,” katanya yang bersara wajib pada 1 Jun 2018.
Sementara itu Ahmad Rafee berkata, 31 tahun pengalaman dalam sektor pendidikan membuktikan bahawa pentingnya kerjasama menyeluruh dalam memastikan kejayaan sistem pendidikan negara.


Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan itu turut menegaskan bahawa, kekuatan sistem pendidikan terletak pada kesatuan hati dalam kalangan pendidik, pentadbir dan seluruh anggota masyarakat.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai guru di Selama sebelum menyandang pelbagai jawatan kanan di Institut Aminuddin Baki dan KPM turut menyifatkan anugerah yang diterima sebagai pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya beliau.
“Saya sangat menghargai anugerah ini. Ia menunjukkan KPM masih menghargai jasa dan sumbangan saya sepanjang berkhidmat dalam pendidikan,” katanya lagi.
Mereka masing-masing membawa pulang loket emas, plak penghargaan, Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM50,000 serta baucar penerbangan dan penginapan daripada AirAsia MOVE bernilai RM2,000. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


