PM luang masa minum petang, santuni komuniti Cina di Chemor

IPOH – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut meriah oleh orang ramai khususnya penduduk setempat pada sesi minum petang bersama komuniti Cina di sebuah restoran di Chemor dekat sini, pada petang Sabtu.

Kira-kira 300 orang hadir termasuk pemimpin komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), guru besar serta warga sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh serta Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Terence Ng Swee Teck.

PM luang masa minum petang, santuni komuniti Cina di Chemor
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni penduduk setempat semasa meluangkan masa menikmati minum petang bersama masyarakat Cina Tambun di Restoran KAB, Chemor, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 MEI 2026.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun tiba sekitar jam 4 petang dan meluangkan masa kira-kira 45 minit beramah mesra dengan penduduk dalam suasana santai.

Sebaik tiba, beliau sempat meninjau beberapa premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan sambil bertanya khabar kepada peniaga dan penduduk setempat sebelum singgah menikmati minum petang di restoran tersebut.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut berinteraksi secara santai dengan rakyat yang mengambil peluang bertanyakan pelbagai isu semasa termasuk perkembangan konflik Asia Barat serta pelaksanaan penyasaran subsidi petrol.

PM luang masa minum petang, santuni komuniti Cina di Chemor
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas meluangkan masa menikmati minum petang bersama masyarakat Cina Tambun di Restoran KAB, Chemor, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 16 MEI 2026.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada hadirin supaya semangat persefahaman dan kerjasama erat antara pemimpin serta rakyat perlu diteruskan demi memastikan kesejahteraan dan kestabilan negara sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, Anwar turut menasihatkan pemimpin masyarakat yang hadir supaya terus memperkukuh kerjasama dan memainkan peranan dalam memelihara keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen Tambun.

Sebelum berangkat pulang, Anwar menyantuni pasukan wushu dari SJKC Poi Lam dengan menandatangani kain rentang pasukan wushu sekolah sebagai pembakar semangat untuk terus maju dalam sukan tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Skim PADURI MADANI AIM, sasar 29,000 usahawan wanita B40

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI