Bergelar seorang isteri dan pada masa sama merupakan Gen Z yang gemar memasak mendorong Mashitah Muhamad Basir, 28, melihat wujudnya peluang untuk menawar perkhidmatan yang dapat menjimatkan masa penyediaan makanan.
Graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu kemudiannya mengambil langkah berani memulakan perniagaan menawarkan bahan kisar segar secara atas talian dengan nama TheMakcikBawang kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, dia menjual produk bahan kisar seperti cili, bawang merah, bawang putih, halia dan lain-lain yang dibungkus dalam balang dan dilabel sebelum dihantar ke pelanggan menggunakan khidmat penghantaran.
“Sebagai seorang Gen Z kami suka sesuatu yang cepat, mudah dan tidak membuang masa. Pada masa sama juga saya seorang isteri yang suka memasak jadi saya ingin menyelesaikan masalah yang dihadapi bila hendak memasak.

“Saya lihat bahawa dengan adanya bahan kisar sedia ada ia menjimatkan masa. Lalu saya terfikir bahawa wanita di Manjung ini kebanyakkan mereka bekerja maka saya melihat peluang yang ada untuk dijual,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.
Menggunakan jenawa TheMakcikBawang, Mashitah berkata, nama tersebut dipilih secara rawak memandangkan dia menjual bahan kisar termasuklah bawang.
“Bagi saya nama TheMakcikBawang itu sesuai dengan keadaan dapur itu sendiri di mana bawang adalah bahan yang kita guna memasak sambil berbual di dapur,” katanya.
Buka kedai di Pasar Awam Sitiawan
Selepas lebih dua tahun berniaga secara atas talian Mashitah yang juga merupakan anak kelahiran Manjung akhirnya memutuskan untuk menyewa sebuah kedai kecil di Pasar Awam Sitiawan dan menjual bahan kisar segar secara terus kepada pelanggan.
Menjual lebih 13 jenis bahan kisar segar di kedainya, Mashitah berkata, ia merupakan satu lembaran baharu kepada dirinya memandangkan sebelum ini berniaga secara atas talian.

Jelasnya, langkah memilih untuk membuka kedai adalah bertujuan memudahkan pelanggan memilih bahan kisar segar dengan melihat sendiri serta memilih apa bahan yang mereka perlukan mengikut jenis masakan.
“Bila saya berniaga di atas talian dalam balang pelanggan tidak boleh menentukan harga bahan kisar yang mereka inginkan berbanding jika datang ke kedai mereka boleh beritahu mahu cili kisar berapa ringgit, bawang berapa ringgit.
“Dengan adanya kedai kecil ini saya juga boleh menjual bahan kisar dengan harga yang Rahmah kata orang disamping mengikut bajet pelanggan seperti membeli dengan harga RM2,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan adanya kedai ia juga memudahkan pelanggan untuk membeli pes campuran kami seperti masakan rendang, sambal dan lain-lain.
“Mereka cuma perlu beritahu nak masak apa jadi saya sediakan contohnya nak masak rendang saya akan akan campurkan tujuh jenis bahan yang saya jual iaitu bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, serai, kunyit aa dan cili kering,” katanya.
Pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan umur
Mashitah berkata, pada awalnya dia sedikit gusar untuk menjual bahan kisar segar memandangkan persepsi segelintir masyarakat bahawa lebih mudah dan jimat jika disediakan sendiri bahan-bahan untuk memasak.

Namun katanya, dia tidak menyangka bahawa pelanggannya bukan sahaja dari Gen Z tetapi juga generasi milenial yang sedikit terkejut bahawa ada peniaga menjual cili dan bawang kisar tanpa perlu mereka bersusah payah menyediakannya.
“Seperti saya katakan pada asal saya buat bahan kisar untuk selesaikan masalah saya sendiri tetapi tidak sangka bila saya menjual penerimaan pelanggan itu bukan sekadar orang muda malah kebanyakkan pelanggan adalah golongan milenial.
“Bahkan ramai juga pasangan suami isteri yang sudah berpencen merupakan pelanggan tetap yang akan datang membeli bahan kisar segar untuk kegunaan harian mereka dalam masakan,” katanya.
Masih ramai tidak tahu kewujudan bahan kisar segar
Ditanya mengenai cabaran berniaga bahan kisar segar Mashitah berkata, meskipun penerimaan masyarakat positif dia berhadapan kesukaran dalam memberi kesedaran kepada mereka bahawa bahan kisar segar merupakan keperluan bukan lagi kehendak.

Jelasnya, masih ada pelanggan yang tidak mengetahui bahawa bahan kisar segar dijual oleh peniaga tempatan bagi memudahkan urusan harian pelanggan selain menjimatkan masa persediaan.
“Setiap kali pelanggan melalui kedai saya mereka akan bertanya apa yang saya jual dan saya akan terangkan sebaik mungkin kepada mereka agar mereka tahu bahawa saya menjual bahan kisar segar.
“Selain itu, juga saya turut menerangkan kepada mereka bangaimana menggunakan sukatan yang betul serta jumlah bahan kisar segar ini boleh dibeli mengikut kehendak pelanggan mengikut masakan yang mereka inginkan.
“Jadi cabarannya adalah saya perlu lebih bersabar dan konsisten dalam berkongsi ilmu dan tips kepada masyarakat,” katanya. -MG Perak


