IPOH – Kerjasama lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk kelab permotoran berjaya merealisasikan program Jom Kejar Saham Akhirat 2026 dengan membawa anak yatim berkonvoi dari Pasir Salak ke Ipoh untuk membeli kelengkapan raya di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Ahad.
Program anjuran Skuad Prihatin melibatkan 120 anak yatim bersama 250 pengiring termasuk ibu bapa angkat mereka itu dilaksanakan di peringkat Parlimen Pasir Salak bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh tanpa ada pihak tercicir.
Penaung Skuad Prihatin, Mohd Nazari Sabran berkata, penganjuran program berskala lebih besar itu tercetus hasil pengalaman turun padang termasuk melalui program Back to School sebelum ini serta maklum balas daripada komuniti.

Foto: Abdullah Yusof
Menurutnya, sebelum ini program seumpamanya hanya dibuat di peringkat kawasan sahaja tetapi pada kali ini ia dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sebelum ini bantuan seperti Back to School hanya dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) namun terdapat aduan daripada kawasan lain yang tidak menerima bantuan sama.
“Apabila kita buat program Back to School di peringkat DUN Sungai Manik, mereka di Kampung Gajah ada yang bertanya kenapa mereka tidak tak dapat. Jadi tercetuslah program ini berskala lebih besar meliputi seluruh Parlimen Pasir Salak.
“Penerima bantuan terdiri daripada anak yatim terpilih melibatkan dua zon iaitu Sungai Manik (Labu Kubong dan Sungai Manik) dan zon Kampung Gajah (Kampung Gajah Tengah, Kampung Gajah Kiri, dan Anak Sungai).
“Kriteria pemilihan penerima adalah melalui ketua-ketua cawangan ataupun ketua-ketua komuniti di kampung terlibat,“ katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa Program Jom Kejar Saham Akhirat 2026 di Restoran Bigstones di sini pada Ahad.
Sementara itu, Pengerusi Skuad Prihatin, Mohd Rossidi Ismail berkata, program tersebut bukan yang pertama dianjurkan pihaknya.

Foto: Abdullah Yusof
Menurutnya, pihaknya pernah membawa anak yatim membeli kelengkapan raya di lokasi sama pada tahun 2019 sebelum memberi tumpuan kepada program membeli pakaian sekolah untuk anak-anak sekitar Parlimen Pasir Salak pada tahun-tahun berikutnya.
“Ini bukan program pertama kami daripada Skuad Prihatin. Kami pernah buat tahun 2019, bawa anak-anak yatim juga ke Mydin. Tapi tahun seterusnya kami tumpukan program membeli kelengkapan persekolah untuk anak-anak di Parlimen Pasir Salak.
“Cuma tahun ini kami tidak membeli pakaian anak sekolah tetapi diteruskan dengan program membeli kelengkapan raya bersama dengan anak yatim untuk memberi sedikit senyuman kepada mereka pada Syawal yang bakal menjelma,” ujarnya.
Beliau berkata, pada program ini sebanyak 43 kenderaan pelbagai jenis dari Kampung Gajah manakala sembilan kenderaan lain dari Sungai Manik turut bersama-sama berkonvoi membawa anak yatim terlibat ke destinasi yang dituju.
“Perjalanan yang diambil lebih kurang 130 kilometer. Kita mengambil masa bergerak daripada Masjid Al-Ansar, Changkat Lada jam 12 tengah hari dan tiba di Meru jam 2 petang.
“Skuad Prihatin sebenarnya memang menjalankan aktiviti masyarakat di sekitar, khasnya di Felcra Seberang Perak, tetapi turut meliputi kawasan Parlimen Pasir Salak mengikut keperluan.

Foto: Abdullah Yusof
“Untuk makluman, kita juga memang setiap tahun kita adakan program Back to School melibatkan kira-kira 150 orang penerima cuma tahun ini kita tukar kepada Jom Raya.
“Mungkin pada masa akan datang kita akan buat bubur lambuk dan mengadakan program agama seperti yang telah kita rancangkan,“ katanya.
Katanya, program berkenaan dilihat bukan sahaja memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim menjelang Aidilfitri, malah mengukuhkan kerjasama NGO dalam membantu golongan memerlukan di Parlimen Pasir Salak. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anak yatim, asnaf gembira berbuka puasa di hotel, dapat duit raya


