IPOH – Seramai 22 individu dalam kategori miskin dan miskin tegar yang tersenarai di bawah sistem eKasih di negeri Perak menerima sumbangan sebuah motosikal setiap seorang menerusi Inisiatif Sejahtera MADANI.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan yang memberi sokongan kepada golongan itu untuk menambah baik taraf kehidupan.

“Program ini merupakan salah satu lagi inisiatif di bawah Sejahtera MADANI yang memberi bantuan berbentuk peralatan sokongan kepada penerima.
“Sebagai contoh, jika seseorang itu sakit, kita bantu dengan peralatan seperti tangki oksigen atau keperluan lain.
“Jika mereka berniaga, kita salurkan bantuan perniagaan bagi membantu mereka meneruskan aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Motosikal Sejahtera MADANI di Dewan Komuniti Sungai Tapah, Manjoi, pada Jumaat.

Menurut Muhammad Kamil, bantuan itu disalurkan selepas penilaian dibuat oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri terhadap latar belakang ekonomi dan keperluan semasa penerima.
Justeru kata beliau, melalui sumbangan motosikal itu ia diharap akan memudahkan pergerakan penerima selain membantu meningkatkan mobiliti serta peluang menjana pendapatan mereka.

“Sebahagian daripada penerima ini sebenarnya sudah mempunyai pekerjaan atau menjalankan perniagaan kecil-kecilan, namun mereka tidak mempunyai kenderaan persendirian.
“Jadi dengan bantuan motosikal ini, ia sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan pergerakan mereka, termasuk untuk menjalankan perniagaan atau bekerja,” jelas beliau.
Mengulas kemungkinan bantuan sama diperluaskan ke lokasi dan masa yang lain, Muhammad Kamil berkata, kerajaan akan terus menilai bentuk bantuan yang bersesuaian berdasarkan keperluan semasa rakyat setempat.

Ujar beliau, pendekatan itu selari dengan dasar kerajaan yang sentiasa menyesuaikan bentuk bantuan mengikut situasi serta keperluan golongan sasar.
Tambah beliau lagi, penyerahan motosikal berkenaan juga merupakan julung kali dilaksanakan di Perak khusus kepada penerima yang berada dalam senarai eKasih.
“Kita melihat kepada apa sahaja bentuk bantuan yang diumumkan kerajaan dari semasa ke semasa. Contohnya seperti skim khairat kematian yang sebelum ini tidak ada, tetapi kini diperkenalkan.
“Oleh itu, bentuk bantuan yang diberikan tidak semestinya terhad kepada motosikal sahaja, mungkin juga dalam bentuk peralatan lain yang lebih sesuai dengan keperluan penerima,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


