LUMUT – Kerajaan sedang menyusun langkah awal membawa keluar rakyat Malaysia yang berdepan konflik di Timur Tengah, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, usaha berkenaan turut melibatkan pelajar-pelajar yang menuntut di institusi pengajian di Timur Tengah.
“Setakat ini usaha-usaha awal saya difahamkan bahawa ialah bagaimana kita hendak menyusun untuk mengeluarkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan berlaku krisis itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) Daerah Manjung di Bako-Bako Resto di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Meor Ismail Meor Akim.
Mengulas mengenai status pelajar Malaysia yang berada di kawasan konflik terlibat Zambry berkata, Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri bagi mengendalikan keadaan rakyat di sana.
“Apa pun langkah-langkah itu kita serahkan kepada pihak Kementerian Luar Negeri akan keadaan di Timur Tengah ini.
“Sekiranya ada keperluan ataupun arahan daripada Kementerian Luar Negeri untuk kita mengeluarkan pelajar-pelajar kita termasuk rakyat kita, maka kita akan turut serta,” katanya.
Terdahulu media melaporkan seramai 323 rakyat Malaysia di Qatar telah mendaftar untuk menyertai usaha membawa pulang secara sukarela yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia setakat ini.
Ia temasuk mereka yang berminat masih boleh mendaftar sebelum senarai akhir peserta dimuktamadkan pada Sabtu.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Mohd Faizal Razali berkata penerbangan pertama yang membawa rakyat Malaysia pulang ke tanah air dijangka berlepas melalui Riyadh, Arab Saudi seawal Isnin atau Selasa, walaupun jadualnya masih belum dimuktamadkan.
“Setakat malam ini, kira-kira 323 rakyat Malaysia telah mengisi borang menyatakan minat untuk pulang ke Malaysia melalui inisiatif kerajaan ini,” katanya. -MG Perak


