BAGAN DATUK – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ada bertemu dengan bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menurut Ahmad Zahid pertemuan beliau dengan Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ itu berlangsung beberapa kali ketika menghadiri beberapa majlis.
“Ya saya bertemu beberapa kali dalam majlis dan Insya-Allah secara rasminya beliau berhasrat untuk bertemu dengan saya.
“Sebagaimana saya nyatakan dalam kenyataan mengenai ‘Rumah Bangsa’ kita terima sesiapa sahaja kecuali mungkin orang yang saya tidak kenal yang kepalanya masih keras,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Ihya Ramadan Al- Mubarak Tahun 2026 Sumbangan Kepada Asnaf Parlimen Bagan Datuk, Ketua Isi Rumah – Lelaki, Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (DUN) Rungkup dengan Kerjasama Felcra Berhad di Dewan Dato Lope Hashim, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Pada majlis itu, seramai 1,584 penerima dari kategori ketua isi rumah lelaki, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya dengan peruntukkan berjumlah RM246,800.
Sementara itu, ditanya mengenai sambutan ‘Rumah Bangsa’ Ahmad Zahid menjawab ia amat menggalakan dan UMNO amat bersyukur kerana bakal menerima ‘saudara baharu’.
Jelas beliau, Jawatankuasa Rumah Bangsa juga telah mengadakan mesyuarat bagi meneliti permohonan yang diterima.
Menurutnya, permohonan tersebut perlu dibuat secara rasmi bagi mengelakkan sebarang masalah pada masa akan datang.
“Saya yakin jawatankuasa itu tidak mengenakan sebarang syarat, tetapi mereka mahu permohonan dibuat secara rasmi supaya tidak timbul masalah di belakang hari nanti,” katanya. -MG Perak


