IPOH – Seramai 40 anak yatim serta daripada keluarga kurang berkemampuan dari Asrama Budi Mulia Nurul Huda, Chemor menerima sumbangan kelengkapan pakaian hari raya menerusi Program Sinar Syawal 2026 anjuran Yayasan Perak.
Menerusi program itu, para penerima dapat membuat persiapan Aidilfitri apabila setiap seorang menerima sumbangan pakaian hari raya bernilai RM200 di Gedung Tekstil Jakel Ipoh, pada Khamis.

Pengurus Korporat dan Perhubungan Awam Yayasan Perak, Nur Dalila Mastor berkata, melalui kerjasama strategik bersama Jakel Ipoh itu mereka bebas memilih sendiri pakaian hari raya mengikut cita rasa masing-masing.
Katanya, program tersebut merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan pihaknya pada setiap tahun bagi menyantuni golongan yang memerlukan terutama menjelang Syawal.

“Pendekatan ini bukan sahaja memberi pengalaman yang lebih bermakna, malah membolehkan mereka merasai keterujaan memilih pakaian raya sendiri menjelang Hari Raya Aidilfitri.
“Setiap penerima menerima sepersalinan pakaian hari raya lengkap, termasuk baju Melayu dan songkok bagi lelaki, manakala kanak-kanak perempuan pula menerima baju kurung serta tudung.
“Apabila kita lihat pada program, memang jelas mereka sangat teruja dan gembira kerana dapat memilih sendiri pakaian raya yang mereka suka,” katanya ketika ditemui pada program, pada Khamis.

Pada program, kesemua mereka turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan Isteri kepada Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin.
Menurut Nur Dalila, kolaborasi bersama Jakel Ipoh menerusi program berkenaan telah memasuki tahun keenam dan ia akan diteruskan pada tahun hadapan.

“Kita sudah bekerjasama dengan pihak Jakel sejak enam tahun lalu dan kerjasama ini diteruskan kerana mereka juga komited dalam menyokong program kebajikan seperti ini.
“Melalui kolaborasi ini, kita dapat memastikan anak-anak yang diraikan menerima kelengkapan pakaian raya yang sempurna menjelang Aidilfitri,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, Yayasan Perak percaya bahawa kesejahteraan sosial bermula dengan sentuhan kemanusiaan dan komitmen untuk memperluas jangkauan program kebajikan seumpama itu akan terus diperkukuh.
Kata beliau, ia supaya lebih ramai golongan sasar dapat dibantu, selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang lebih inklusif, prihatin dan sejahtera.
“Walaupun sumbangan ini mungkin kecil pada nilai, namun besar maknanya kepada mereka yang diraikan.
“Usaha ini diharapkan dapat memastikan anak-anak ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan serta rasa dihargai,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sinar Syawal: Teruja pilih baju raya sendiri, tidak sabar sambut Aidilfitri


