LUMUT – Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu 8 Lekir, Sitiawan di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 3.17 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Setibanya di lokasi kita mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu lori tangki Lembaga Air Perak (LAP), kereta Honda City dan kereta Proton Wira.
“Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun didapati tersepit di dalam kereta Proton Wira dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
“Anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau memaklumkan operasi terkawal pada jam 4.15 petang dan tamat sepenuhnya tujuh minit kemudian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


