TANJUNG MALIM – Seorang pekerja di Proton City bersyukur kerana tidak perlu lagi mengambil masa 40 minit untuk berulang alik dari Felda Trolak Selatan ke tempat kerjanya setiap hari apabila terpilih untuk memiliki rumah pertama menerusi skim Rumah Perakku I di Kota Malim Prima di sini.
Mohd Fariez Kamarul Redzuan, 28, meluahkan rasa syukur atas rezeki yang diterima selepas melalui dua kali percubaan sebelum permohonannya diluluskan.
Menurutnya, rumah itu bukan sahaja memberi keselesaan kepada keluarganya, malah membantu mengurangkan beban harian terutamanya dari segi kos dan masa perjalanan ke tempat kerja.
“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat memiliki rumah pertama. Ini semua rezeki untuk anak dan isteri saya.
“Selama ini saya berulang-alik dari Felda Trolak Selatan ke Proton City di Tanjung Malim setiap hari dengan menaiki motosikal, mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Kota Malim Prima @ Tanjung Malim di Jalan KMP2, Kota Malim Prima di sini pada Sabtu.
Katanya, lokasi rumah baharu yang lebih dekat dengan tempat kerja dijangka dapat menjimatkan kos minyak selain memberi lebih masa berkualiti bersama keluarga.
“Bila dapat rumah dekat dengan tempat kerja, inshaAllah dapat kurangkan kos minyak dan tidak perlu lagi berulang-alik jauh seperti sebelum ini,” ujarnya yang sebelum ini menyewa rumah dengan kadar RM400 sebulan.

Bagi Nor Azuwa Amielia Mohd Nor, 35, pula, tiada kata dapat diungkap melainkan rasa teruja dan gembira selepas menerima rumah pertama menerusi Rumah Perakku I.
Ibu kepada dua orang anak ini menyewa rumah di Behrang 2020 selama enam tahun sebelum dimaklumkan untuk menerima rumah pertama di bawah skim itu.
“Saya bekerja dan banyak berurusan secara dalam talian. Jadi apabila terfikir untuk cari rumah sendiri, saya mula mencari maklumat di Google mengenai bantuan perumahan yang disediakan di Perak dan menemui inisiatif oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) menerusi program Rumah Perakku.
“Kemudian, saya cuba mohon dengan mengisi borang Google Form untuk Rumah Perakku itu. Alhamdulillah, tidak lama selepas itu saya terima panggilan daripada LPHP yang memaklumkan nama saya terpilih,” jelasnya.
Katanya, tempoh menunggu sekitar dua tahun itu masih dianggap tidak terlalu lama berbanding sesetengah permohonan lain.
“Saya rasa saya daftar dalam dua tahun juga. Tidak lama sangat sebenarnya. Ada yang nampak macam lama, tapi Alhamdulillah rezeki Allah itu cepat,” katanya.

Seorang lagi pemilik rumah pertama menerusi skim tersebut Mohamad Nizam Idris, 44, berkata, bersyukur kerana urusan untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai.
“Alhamdulillah, kalau macam kami staf kilang, pendapatan tidak berapa besar. Jadi untuk kami ini adalah satu rezeki yang baik untuk keluarga untuk memiliki rumah sendiri dengan kadar yang tidak berapa tinggi dengan harga mampu milik.
“Projek ini juga sebenarnya membantu banyak penduduk Tanjung Malim ini terutamanya yang berpendapatan rendah dalam sektor industri.
“Kalau boleh, banyakkan lagi (projek seumpama) bagi memberi peluang kepada orang yang umur macam saya atau agak sudah berumur untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya.
Sebanyak 383 unit Rumah Perakku melibatkan fasa pertama dan fasa kedua dibina di atas tanah seluas 14.74 hektar di Kota Malim Prima di sini dan dijangka siap pada tahun 2028.– MG Perak
Artikel Berkaitan:
Selatan Perak berkembang sebagai hab automotif, keperluan perumahan meningkat


