PARIT – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang bayi lelaki mengalami patah peha ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah.
Bayi berusia 13 hari itu sebelum ini merima rawatan akibat jaundis di hospital berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan secara menyeluruh dan adil akan dilaksanakan dengan mendapatkan dapatan daripada Pengarah Kesihatan Negeri dan laporan polis.
Menurutnya, buat masa ini, pihaknya tidak akan membuat sebarang kesimpulan awal sebaliknya menunggu laporan lengkap siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Saya pastinya kena tunggu laporan siasatan dan apakah sebenarnya punca masalah itu. Kita jangan buat apa-apa ramalan.
“Kita tunggu siasatan secara adil dan kita akan dengar semua dapatan yang lebih bertanggungjawab bukan ‘hearsay’ (khabar angin) sahaja,” katanya.
eliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perasmian Hospital Seri Iskandar di Perkarangan Hospital Seri Iskandar, di sini, pada Khamis.
Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, bapa bayi terbabit, Muhammad Nor Fadly Mohd Shaidi, 38, berkata, dia dan isterinya, Nor Shahila Abd Hamid, 34, hanya menyedari kejadian itu pada petang Ahad selepas mendapati paha kanan bayi mereka dalam keadaan berbalut.
Muhammad Nor Fadly berkata, semasa bayinya dilahirkan pada 28 April lepas melalui kaedah pembedahan, keadaannya normal dan mampu menggerakkan anggota badan termasuk kedua-dua kaki dengan baik.
Kejadian itu kemudiannya tular di media sosial yang turut memaparkan gambar keadaan bayi tersebut yang sedang dirawat di hospital berkenaan. -MG Perak


