TAPAH – Bergelar ibu kepada tiga anak tidak menghalang semangat Intan Haslinda Aderil Jamlei, 29, untuk menambah ilmu dalam bidang kemahiran jahitan sebagai pelajar di institusi GiatMARA.
Menurut Intan Haslinda, minatnya terhadap bidang jahitan bermula apabila melihat peluang luas dalam sektor penghasilan pakaian, khususnya bagi golongan bersaiz besar yang sukar mendapatkan pakaian sesuai di pasaran.

“Saya tertarik dengan institusi latihan kemahiran seperti GiatMARA sebelum membuat carian mengenai kursus yang ditawarkan di platform atas talian, dan saya mendapati bidang jahitan mempunyai potensi besar.
“Sebagai individu bersaiz ‘plus size’, saya sendiri sukar mendapatkan pakaian yang selesa. Dan selepas tamat pengajian, saya bercadang untuk memulakan perniagaan menjahit pakaian bagi memenuhi keperluan golongan ‘plus size’,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tajaan Yuran Pendaftaran GiatMARA Tapah di Temoh, di sini, pada Jumaat.
Pada majlis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir menyampaikan sumbangan bagi menampung kos pendaftaran kepada sembilan pelajar daripada keluarga B40.

Hadir sama, Timbalan Pengarah GiatMARA Perak, Mohd Mubaraq Abd Hamid serta Penghulu Tertinggi Daerah, Hamka Othman.
Intan Haslinda berkata, meskipun tidak mempunyai pengalaman menjahit sebelum ini, peluang mengikuti Kursus Jahitan Pakaian dan Fesyen bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua di GiatMARA Tapah membuka ruang untuknya mempelajari kemahiran baharu.

Katanya, sebelum ini dia pernah bekerja dalam bidang khidmat pelanggan di Pulau Pinang sebelum mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa selepas berpindah mengikut suami pulang ke kampung halaman di sini.
Mengulas lanjut dia berkata, faktor usia bukan penghalang untuk menimba ilmu kerana terdapat rakan sekelasnya yang lebih berusia turut mengikuti kursus di institusi latihan kemahiran sama.
“Umur bukan penghalang kerana ada rakan saya yang berumur 33 dan 43 tahun juga belajar dalam bidang ini.
“Saya memang suka belajar dan melihat ini sebagai peluang untuk meningkatkan kemahiran serta menambah pendapatan sampingan untuk keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Muhamad Haziq Mohd Asri, 18, berkata, minat mendalam terhadap bidang automotif telah mendorongnya untuk memilih menyambung pengajian di GiatMARA selepas menamatkan persekolahan.
Katanya, minat tersebut telah dipupuk sejak di bangku sekolah dan didorong keinginan untuk membantu keluarga terutama dalam membaiki kenderaan.
“Saya minat bidang automotif sebab boleh baiki kereta keluarga sendiri dan tidak perlu bergantung kepada orang lain.
“Selain itu, saya juga boleh bantu keluarga mengelakkan daripada ditipu pihak tidak bertanggungjawab kerana sudah tahu asas dalam membaiki kenderaan,” katanya.

Tambah Muhamad Haziq, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai prospek kerjaya yang luas serta mampu menawarkan sumber pendapatan yang baik kepada lepasan pelajar.
“Bidang TVET ini boleh pergi jauh dan peluang pekerjaan pun banyak, malah kita boleh tentukan nilai gaji berdasarkan kemahiran yang ada,” katanya yang mengikuti Kursus Teknologi Automotif SKM Tahap Dua. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


