Konflik Asia Barat: Kerajaan fokus ringankan beban rakyat – PM

IPOH – Kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh implikasi dan keperluan terhadap cadangan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi bagi meringankan beban rakyat termasuk golongan peniaga susulan konflik di Asia Barat yang masih berlarutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini kerajaan sedang memberi tumpuan kepada kestabilan bekalan terhadap harga barangan asas di pasaran agar tidak membebankan rakyat.

“Kita sekarang teliti semua implikasi dia. Yang penting sekarang ialah keutamaan disebut dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) (adalah) kita hendak pastikan barang keperluan itu ada.

“(Ia termasuk) minyak masak, tepung, garam, gula, sayur, ikan, daging, ayam (segar),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mengulas lanjut Anwar berkata, selain memastikan bekalan mencukupi, kerajaan turut memberi penekanan terhadap usaha mengawal harga barangan agar kekal stabil.

Ujar beliau, kerajaan turut sedang mempertimbangkan langkah-langkah tambahan termasuk kepada cadangan memberikan kelonggaran kepada sektor perniagaan bagi membantu mengurangkan tekanan kos operasi.

“Kita akan tengok sama ada kita boleh beri sedikit kelonggaran kepada (sektor) perniagaan termasuk dari segi cukai, tarif atau apa-apa bayaran yang dikenakan supaya dapat membantu mengurangkan kerja (beban).

“Dan ada juga mencadangkan tentang ‘e-invoicing’ (sistem e-invois) sama ada ia boleh ditangguhkan (atau sebaliknya). Itu semua kita sedang teliti,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan mungkin akan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi seperti mana yang pernah dilaksanakan sewaktu era pandemik COVID-19 dalam usaha meringankan beban rakyat susulan konflik di Asia Barat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, dilaporkan berkata, bagaimanapun inisiatif itu bergantung kepada pemantauan kerajaan berhubung konflik itu dan implikasi daripada peperangan yang berlaku. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Konflik Asia Barat: Hentikan tuding-menuding, cari jalan penyelesaian bersama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI