KKT, YRU meterai LOI, perkukuh jaringan pendidikan antarabangsa

IPOH – Kolej Komuniti Taiping (KKT) terus mengorak langkah memperluas jaringan antarabangsa menerusi pelaksanaan Program Kembara Ilmu Rentasi Sempadan melalui lawatan rasmi ke Yala Rajabhat University (YRU), Thailand baru-baru ini.

Program berimpak tinggi itu menjadi platform penting dalam memperkukuh kolaborasi akademik, perkongsian kepakaran serta pemindahan ilmu antara kedua-dua institusi, sejajar usaha memperkasa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di peringkat global.

Kemuncak program menyaksikan majlis menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara KKT dan YRU sebagai simbol komitmen bersama dalam membangunkan kerjasama strategik jangka panjang.

Majlis berkenaan dipengerusikan Presiden YRU, Penolong Profesor Dr Sirichai Namburi yang menyambut delegasi KKT diketuai pengarahnya, Aznur Anuar Ab Azid.

Menerusi majlis itu, kedua-dua pihak secara rasmi memeterai LOI melalui sesi menandatangani dokumen oleh kedua-dua pemimpin institusi, sekali gus menandakan permulaan kerjasama strategik yang lebih tersusun.

Majlis turut disaksikan wakil delegasi KKT serta pihak Fakulti Kesihatan Awam dan Sains Kesihatan Bersekutu YRU, yang memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan.

Dalam pada itu, Aznur berkata, kerjasama tersebut membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan tenaga pengajar untuk menyertai program mobiliti antarabangsa serta pembangunan profesional.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja memperluas jaringan global institusi, malah memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan antarabangsa, selaras dengan keperluan industri masa kini.

“Inisiatif itu juga menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program kolaboratif lebih menyeluruh termasuk penyelidikan bersama, penerbitan akademik dan program komuniti.

“Melalui LOI berkenaan, kedua-dua institusi bersetuju meneroka pelbagai bidang kerjasama seperti mobiliti pelajar dan staf, penyelidikan bersama, penganjuran seminar serta persidangan, pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan,“ katanya.

Sepanjang lawatan itu, delegasi turut mengikuti sesi pembentangan institusi, perbincangan dua hala serta lawatan ke fakulti dan bengkel berkaitan, termasuk pendedahan kepada amalan terbaik dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan di YRU.

Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan KKT dalam memperkukuh kedudukan TVET yang progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa, sejajar aspirasi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) untuk melahirkan graduan holistik dan berkemahiran tinggi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Permohonan UPUOnline lepasan SPM dilanjutkan 12 April

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI