IPOH – Sebanyak 106 kekosongan perjawatan hakiki bagi pegawai perubatan di semua hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Perak, berdasarkan data sehingga Februari lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, ketika ini nisbah seorang doktor kepada 1,000 populasi penduduk di negeri ini adalah 1:446.
Katanya, justeru Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak berusaha berbincang dengan KKM untuk menambah bilangan pegawai perubatan di negeri ini agar berada di tahap maksimum khususnya di hospital berpakar.
“Penambahan bilangan pegawai perubatan di semua hospital, khususnya hospital berpakar, diperlukan setiap tahun.
“Ia bagi memenuhi peningkatan beban kerja akibat pertambahan populasi, kompleksiti penyakit dan perluasan perkhidmatan perubatan, dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan serta kemudahan rawatan kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.
Sivanesan (PH-Sungkai) berkata, setiap tahun Perak menerima penambahan waran perjawatan hakiki dan penempatan secara kontrak bagi pegawai perubatan di hospital-hospital dari KKM.
Kata beliau, walau bagaimanapun ia masih tidak dapat memenuhi keperluan optimum dan isu itu dihadapi di semua negeri selain agihan penempatan pegawai perubatan di setiap negeri diputuskan KKM mengikut kelulusan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Dalam menghadapi situasi itu Sivanesan memberitahu, JKN Perak menitikberatkan kesejahteraan mental dan emosi para petugas kesihatan yang merupakan tulang belakang sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata, ketika ini terdapat 39 orang pakar psikiatri secara keseluruhannya di semua institusi dan hospital KKM di Perak.
“Daripada jumlah itu seramai 14 orang di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Raja Permaisuri Bainun (lapan), Hospital Taiping (enam), Hospital Teluk Intan (enam), Hospital Seri Manjung (empat) dan Hospital Slim River (tiga).
“Bagi memastikan kesihatan mental mereka sentiasa berada pada tahap optimum, beberapa program sokongan psikososial yang komprehensif telah dilaksanakan secara berterusan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KKM tak pandang ringan 6,000 doktor letak jawatan sepanjang lima tahun lalu


