Tiga peratus zon ladang hutan di Perak, tiada tambahan keluasan baharu

IPOH – Perak menetapkan pelaksanaan terhadap Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) melibatkan keluasan 32,375 hektar, iaitu bersamaan kira-kira 3 peratus daripada keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia berbanding keluasan 100,000 hektar ZPLH yang telah diluluskan melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-68 pada tahun 2012.

Katanya, daripada jumlah keluasan yang ditetapkan tersebut, hanya berbaki seluas 809 hektar yang masih belum diberikan kelulusan sehingga 31 Disember tahun lalu.

“Pelaksanaan pembangunan ladang hutan ini dilaksanakan secara berfasa dan tidak diberikan kelulusan secara serentak.

“Ia bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun serta pemantauan yang berkesan terhadap impak alam sekitar dan pengurusan sumber hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Saarani (BN-Kota Tampan) memberitahu, pembukaan kawasan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal adalah tertakluk sepenuhnya kepada had keluasan ZPLH yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Ujar beliau lagi, kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membuka atau menambah keluasan baharu bagi ZPLH di Perak pada masa ini.

Ketika menjawab soalan tambahan Azman, Saarani berkata, kerajaan negeri turut telah mengenal pasti dan menetapkan 10 spesies pokok hutan yang sesuai dibangunkan sebagai projek pembangunan ladang hutan tersebut.

Jelas Saarani, spesies yang dipilih juga adalah berdasarkan kepada kesesuaian tapak, kadar pertumbuhan, permintaan pasaran serta potensi pulangan ekonomi.

“10 spesies pokok berkenaan adalah batai, getah klon balak, khaya, jati, kelampayan, binuang, sentang, eucalyptus, karas, jelutong.

“Walau bagaimanapun, berdasarkan pelaksanaan semasa oleh pengusaha ladang hutan, tiga spesies utama yang mencatatkan peratusan penanaman tertinggi adalah, getah klon balak dengan kadar lebih kurang 45 peratus, eucalyptus (lebih kurang 32 peratus) dan batai (lebih kurang 20 peratus),” katanya.

Tambah Saarani lagi, keutamaan ketika ini adalah kepada spesies eucalyptus kerana ia mempunyai kadar tumbesaran cepat, tempoh matang yang singkat iaitu sekitar 8 hingga 10 tahun, serta keperluan penyelenggaraan yang lebih rendah.

Beliau berkata, selain boleh ditanam di pelbagai jenis tanah termasuk di lereng bukit, ladang hutan tanaman itu juga dianggarkan mampu menghasilkan sekitar 150 meter padu kayu per hektar bagi satu pusingan tuaian.

“Perbandingan dengan tanaman kelapa sawit, pokok dari spesies ladang hutan dilihat sebagai satu alternatif yang berdaya maju, khususnya bagi kawasan yang kurang sesuai untuk sawit seperti tanah berbukit atau kurang subur.

“Selain menjana pendapatan, pokok dari spesies ladang hutan juga menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar, pengurangan hakisan tanah serta menyokong industri hiliran berasaskan kayu,” katanya. – MG Perak

 

Arikel Berkaitan:

Pemeliharaan Hutan Perak: Langkah meningkatkan kesedaran dan kelestarian alam

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI