Penubuhan kilang BYD tidak boleh diubah, kekal di Perak – Exco

IPOH – Kerajaan Perak mengekalkan pendirian tegas bahawa sebarang bentuk pelaburan dan pengeluaran syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD di Malaysia hendaklah dilaksanakan di negeri ini.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, ia selaras dengan kesepakatan dan komitmen pembangunan sedia ada, serta menghormati hak pembangunan negeri tanpa sebarang pemindahan ke negeri lain.

Menurut beliau, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengemukakan dasar perlindungan industri, iaitu mewajibkan kenderaan yang dipasang secara tempatan oleh BYD mematuhi kuota 80 peratus untuk eksport dan 20 peratus bagi pasaran domestik.

Katanya lagi, selain itu, pihak berkuasa turut menetapkan keperluan awal sebanyak 40 peratus penggunaan komponen tempatan bagi memastikan kelangsungan industri automotif tempatan.

“Sehubungan itu, ketidakmampuan pihak BYD untuk menerima syarat tersebut telah menimbulkan ketidakpastian terhadap pelan pembinaan kilang pemasangan (CKD) di Tanjung Malim.

“Dalam sesi perbahasan Dewan Negeri, beberapa ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) turut mempersoalkan status semasa projek yang didakwa tergendala, termasuk kesan dasar tersebut terhadap keyakinan pelabur asing serta imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan, sekali gus berpotensi menjejaskan aspirasi negeri dan negara untuk menjadi hab kenderaan elektrik serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Sze Yee turut menjelaskan awal tahun lalu, pasukan dari ibu pejabat BYD telah menjalankan penilaian lokasi pelaburan di beberapa negeri, termasuk Perak dan setelah melalui proses penilaian, lokasi strategik berhampiran Lebuhraya Kuala Lumpur–Ipoh di kawasan Tanjung Malim telah dikenal pasti.

“Pada Mac tahun lalu, melalui pelaksanaan laluan pantas oleh Kerajaan Negeri serta kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Kerajaan Persekutuan, semua kelulusan berjaya diperoleh dalam tempoh hanya satu bulan, sekali gus mencipta rekod kecekapan baharu dalam pemprosesan pelaburan di Negeri Perak.

Foto, ihsan Pejabat MB Perak.

“Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu telah mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan proses tanah, yang menyaksikan kerja-kerja pembersihan tapak ladang kelapa sawit dimulakan dalam tempoh enam hari sahaja selepas kelulusan, mencerminkan kecekapan dan komitmen tinggi Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelaburan berskala besar,” katanya.

Namun demikian, beliau mengakui bahawa sehingga kini, pelaksanaan projek tersebut terhenti sepenuhnya susulan pengenalan syarat baharu oleh MITI, dengan tapak di Tanjung Malim kini berada dalam keadaan tidak aktif.

Tambah Sze Yee, sejak projek ini dimulakan pada tahun 2024, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan pendekatan terbuka dan kolaboratif dengan menjemput MITI untuk terlibat secara langsung dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan.

Katanya, namun sepanjang tempoh kira-kira 10 bulan penyelarasan, tiada sebarang bantahan atau maklum balas substantif dikemukakan oleh pihak kementerian, termasuk berkaitan perubahan dasar utama.

“Adalah amat dikesali apabila selepas permohonan rasmi dikemukakan oleh pihak pelabur, satu kerangka dasar baharu diperkenalkan secara tiba-tiba, tanpa ketelusan, komunikasi institusi yang jelas, serta pada saat kritikal, sekali gus menjejaskan kepercayaan dan kesinambungan perancangan sedia ada,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa situasi ini telah memberi impak ketara terhadap kelangsungan projek, menjejaskan keyakinan pelabur serta berpotensi memberi kesan jangka panjang terhadap ekosistem pelaburan negara.

“Walaupun berdepan cabaran semasa, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menjalankan rundingan dan komunikasi secara konstruktif dalam tempoh yang terhad.

“Namun, pihak berkaitan perlu memberikan penjelasan yang telus, menyeluruh dan meyakinkan berhubung perubahan dasar ini bagi memastikan kestabilan dasar serta memelihara reputasi pelaburan negara,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI