IPOH – Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelancaran buku ‘Nobat Diraja Perak: Muzik, Fungsi dan Simbolisme’ di Royal Perak Golf Club (RPGC) di sini, pada Sabtu.
Hadir mengiringi baginda Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah People Of Remarkable Talents (PORT), Datuk Khairudin Abu Hanipah serta Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr Arham Abdullah.

Penerbitan buku karya Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid itu hasil penyelidikan beliau terhadap alat kebesaran diraja negeri Perak itu sebelum in.
Buku setebal 260 halaman itu turut memuatkan ulasan terperinci tentang satu bentuk seni istana Melayu khususnya di Perak yang sangat eksklusif dengan menggabungkan kajian ilmiah dan pengalaman peribadi penulis.
Ketika menyampaikan sembah ucapan, Arham berkata, buku itu disifatkan sebagai sebuah rakaman warisan budaya yang boleh meluaskan pengetahuan dan seterusnya dijadikan dokumen penting untuk rujukan di masa hadapan.

Kata beliau, umumnya mengetahui bahawa keunikan pada Kesultanan Negeri Perak terletak pada kekayaan adat istiadatnya yang masih utuh dipelihara sehingga kini.
“Antaranya ialah nobat iaitu alat kebesaran diraja yang bukan sahaja berfungsi sebagai muzik istana, tetapi juga sebagai lambang kedaulatan dan keabsahan pemerintahan. Bunyi nobat yang bergema membawa makna yang mendalam tentang kesinambungan tradisi dan keagungan institusi raja,” katanya.
Tambah beliau, meskipun ketika ini masyarakat sedang mengejar kemodenan, namun khazanah warisan bangsa yang tidak ternilai dan menjadi akar jati diri bangsa tidak boleh diabaikan.

Arham berkata, dalam konteks berkenaan, UMK dengan kerjasama PORT telah mengambil tanggungjawab yang proaktif dalam memartabatkan warisan sebagai salah satu teras penting dalam pembangunan ilmu.
“UMK bukan sahaja dilihat sebagai pusat pengajian tetapi juga sebagai medan penyelidikan dan pemeliharaan khazanah budaya bangsa melalui penerbitan dan dokumentasi.
“Penerbitan buku ‘Nobat Diraja Perak ini mencerminkan komitmen UMK dan PORT dalam memperkasa warisan kebesaran diraja sebagai sumber ilmu yang bernilai tinggi.
“Usaha ini berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan generasi masa kini dengan warisan terdahulu agar dapat difahami dan dihayati secara berterusan,” jelasnya lagi – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke istiadat taat setia, pengurniaan darjah kebesaran


